Ekstremisme bukan budaya Pas, tolak politik sempit

Ahmad Yunus
Ahmad Yunus
A
A
A

SHAH ALAM - Pas Selangor tidak pernah membawa budaya ekstremisme yang bertentangan dengan agama sebaliknya berusaha membanteras sebarang bentuk politik perkauman sempit yang merugikan rakyat.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, parti Islam itu menghormati hak dan perbezaan antara kaum sepanjang bergiat aktif selama 50 tahun dalam politik.

Menurutnya, Pas mendokong politik matang dan sejahtera malah jentera pilihan raya parti itu tidak pernah disiasat mahupun terlibat dalam salah laku berunsur sabotaj yang mencetuskan ketegangan kaum.

"Kita pernah berada dalam kerajaan Selangor dari tahun 2008 hingga 2018 dan rekod membuktikan bahawa ahli-ahli Exco, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), ahli-ahli majlis PBT (pihak berkuasa tempatan), ketua kampung serta pegawai yang dilantik mewakili Pas semuanya telah berkhidmat untuk semua lapisan masyarakat berbilang kaum di Selangor dengan bersih dan cemerlang.

"Tidak ada seorang pun wakil Pas Selangor yang didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah mahupun kesalahan jenayah lain sepanjang tempoh Pas dalam kerajaan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Tegasnya, Pas akan sentiasa memastikan ahli-ahlinya memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan memelihara keamanan di negeri ini dengan menghormati agama serta budaya kaum lain.

"Kami juga akan memastikan semua ahli mematuhi undang-undang dan peraturan negara dan negeri dalam setiap aktiviti atau kegiatan.

"Menjelang Pilihan Raya Umum Negeri (PRN), Pas bersama rakan komponen di bawah Perikatan Nasional (PN) akan menjunjung amalan demokrasi," katanya.

Tambahnya, Pas juga akan terus berkerja meyakinkan rakyat di Selangor untuk membawa perubahan ke arah kebaikan buat negeri ini.