ALLAH ampun perasuah jika bertaubat - Mohd Nakhaie

Mohd Nakhaie - Foto SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohd Nakhaie - Foto SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Kesalahan pemimpin yang menyalahgunakan kuasa dengan mengambil wang kerajaan boleh dimaafkan sekiranya bertaubat dan memulangkan semula dana tersebut kepada negara.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) ketujuh, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad berkata, ini kerana ALLAH sentiasa membuka peluang kepada umatnya untuk bertaubat dan memohon keampunan di atas segala kesalahan yang dilakukan.

“Kalau sekarang ini apabila kerajaan baharu memerintah, banyak suara sekeliling gesa untuk ambil tindakan kepada kerajaan dulu yang rasuah seolah-olah tidak ada maaf. Itu tidak adil. ALLAH berfirman, orang bersalah kena bertaubat. Maksudnya, Kalau dia ambil harta kerajaan, kalau bertaubat, dia selesai.

“Tapi salah satu syarat adalah apa yang diambil itu kena pulangkan. Apabila dipulangkan, dia bertaubat, kerajaan baharu yang memerintah tidak boleh ambil tindakan kepada dia. Kalau terus menghukum, ini tidak adil. ALLAH Maha Pengampun. Kita pun kena buat kerana dia saudara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Wacana Sinar edisi ke-381 bertajuk Dakwah Madani: Rahmah Bukan Telagah yang disiarkan secara langsung di platform Sinar Harian pada Khamis.

Turut menjadi panelis, Yang Dipertua Yadim kelapan, Datuk Seri Jamil Khir Baharom manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Minggu Sambutan Ulang Tahun Yadim ke-49 turut diadakan di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam.
Minggu Sambutan Ulang Tahun Yadim ke-49 turut diadakan di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam.

Program tersebut turut menyaksikan berlangsungnya acara Minggu Sambutan Ulang Tahun Yadim ke-49 yang diadakan di KumpulanKarangkraf, Shah Alam.

Tambah Mohd Nakhaie, tindakan susulan sepatutnya dikenakan sekiranya pihak terlibat rasuah tidak melakukan sebarang respons.

“Utamakan rahmah (rasa belas). Nabi bersabda bahawa buat kesilapan dalam memaafkan adalah lebih baik dari membuat kesalahan dalam menghukum. Ini satu sifat rahmah yang cukup tinggi,” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata, antara punca keadaan politik ketika ini dalam keadaan tegang iaitu sentiasa berbalah adalah kerana tidak meraikan perbezaan.

“Sebab itu, ALLAH memerintahkan supaya kita berfikiran global. Kalau fikir hanya dalam parti, UMNO dengan UMNO, Pas dengan Pas, sudah tentu kita tidak akan ada rahmah, kebijaksanaan. Bahkan tidak dapat merasai keindahan daripada kepelbagaian itu,” ujarnya.

Oleh demikian, jelas Mohd Nakhaie, Yadim berperanan penting dalam menyampaikan pesanan atau dakwah kepada orang ramai untuk berfikiran dengan lebih meluas agar dapat menerima kepelbagaian.

“Mesti memahami orang lain, bukan sahaja diri kita kaum dan budaya kita. Kita kena juga ambil tahu berkenaan orang lain supaya hidup ada keharmonian. Tidak semestinya kita berbeza, kita bertarung,” ujarnya.