'UMNO milik semua ahli, bukan MKT sahaja' - KJ

Tangkap layar InstaStory Khairy Jamaluddin pada Khamis.
Tangkap layar InstaStory Khairy Jamaluddin pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - “UMNO adalah milik semua ahlinya, bukan milik Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sahaja,” tegas bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurut Khairy Jamaluddin, memiliki sudut pandang yang berbeza dengan pucuk pimpinan tidak bererti beliau tidak setia kepada parti.

“Berbeza pandangan dengan pucuk pimpinan dan menuntut proses demokrasi dihormati tidak bermakna tidak setia kepada parti,” katanya menerusi hantaran di InstaStory pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Jawatankuasa Pengurusan Lembaga Disiplin UMNO bermesyuarat pada Rabu dipercayai bagi membincangkan status keahlian Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, sebarang keputusan hasil mesyuarat tertutup itu akan dibawa ke Mesyuarat MKT UMNO pada Jumaat.

Perkembangan itu dipercayai berlaku susulan tindakan Khairy Jamaluddin menyebarkan dakwaan mengenai kewujudan 'perwakilan import' dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, pada Disember lalu.

Bekas Menteri Kesihatan itu merupakan antara ahli UMNO yang secara terbuka tidak bersetuju dengan keputusan PAU 2022 meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.

Dalam pada itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis turut memberi bayangan bahawa nasib individu lain selain bekas Ahli Parlimen Rembau itu juga akan ditentukan dalam mesyuarat sama.

Jelasnya, ia merupakan sebahagian daripada langkah pembersihan besar-besarandalam parti itu seperti diputuskan dalam PAU 2022 yang lalu.