Tindakan Rasmus satu provokasi, tidak hormati orang Islam

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan pemimpin parti politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockholm, Sweeden pada Sabtu itu disifatkan sebagai perbuatan provokasi jelas dan tidak menghormati masyarakat Islam di seluruh dunia.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Rasmus juga telah menyalahgunakan hak kebebasan bersuara dengan ketara sehingga menjejaskan semangat hidup bersama secara aman dalam dunia yang berbilang agama.

“UMNO mengutuk sekeras-kerasnya tindakan membakar al-Quran oleh ahli politik ekstremis Denmark-Sweden, Rasmus di hadapan Kedutaan Turki di Stockholm baru-baru ini.

“UMNO menggesa Kerajaan Sweden untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap kebencian yang mengerikan ini terhadap Islam.

“Tanpa mengira niat sebenar Rasmus, tindakan keji itu adalah provokasi yang jelas dan sangat tidak menghormati masyarakat Islam di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Paludan bertindak membakar senaskhah al-Quran di hadapan Kedutaan Turki pada Sabtu lalu.
Paludan bertindak membakar senaskhah al-Quran di hadapan Kedutaan Turki pada Sabtu lalu.

Terdahulu media melaporkan, Paludan bertindak membakar senaskhah al-Quran pada 21 Januari lalu sebagai tanda bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden.

Pemimpin itu bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun berbuat demikian selepas Turkiye dilapor membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).