PRU15: Isham mahu Hamzah jelas niat PN beri duit

Isham (kiri), Hamzah (kanan)
Isham (kiri), Hamzah (kanan)
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil mahu Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan niat gabungan itu memberikan duit kepada pengundi sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau juga mencabar agar Ahli Parlimen Larut itu mengemukakan bukti kukuh kononnya PN tidak merasuah pengundi semasa PRU15.

“Jika benar, nyatakanlah bukti kukuh tersebut supaya rakyat boleh menilai dan untuk mengelak fitnah jika kamu benar.

“Dan jelaskan sekali berkenaan banyak video yang tular dan laporan polis yang dibuat berkenaan orang-orang PN beri duit kepada pengundi dan meminta penerima duit bersumpah atas nama ALLAH supaya undi Pas,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Hamzah sebelum ini dilapor mempertahankan pemberian wang ketika pilihan raya kerana tindakan itu bergantung kepada ‘niat’ pemberi.

Menurutnya, dalam situasi tertentu, ada pengundi yang meminta wang daripada calon.

Tegas Isham, menggunakan nama ALLAH untuk merasuah pengundi adalah sesuatu yang keji.

“Dan kemudian menipu untuk menutup amalan rasuah tersebut bukanlah sesuatu strategi yang baik, ia umpama menggali lubang yang lebih dalam untuk tanam diri sendiri.

“Usah memperguna dan menunggang agama untuk menghalalkan yang haram. Yang haram tetap haram. ALLAH mahu mengetahui apa yang kamu dan rakan-rakan kamu buat. Bertaubatlah,” katanya.