PAU 2022: Ahmad akan bertemu RoS dalam masa terdekat

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kecil: Ahmad Maslan.)
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kecil: Ahmad Maslan.)
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Pontian itu memberitahu, beliau dan peguam parti akan menjelaskan kepada RoS bahawa proses pengundian dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 dijalankan mengikut peraturan dan perlembagaan parti.

Menurutnya, berdasarkan ketetapan Peraturan 2.1 Persidangan UMNO, sekiranya terdapat sebarang masalah berbangkit ketika persidangan, Pengerusi Tetap berkuasa membuat keputusan dan keputusannya itu adalah muktamad.

“Pemberian kuasa kepada Pengerusi Tetap ini adalah bagi memastikan perjalanan PAU teratur namun tidaklah terlalu mengikat perwakilan.

“Ini kerana matlamat PAU adalah untuk membincangkan dan memutuskan isu-isu berkenaan dasar-dasar parti sepertimana diperuntukkan di bawah Fasal 8.3.1 Perlembagaan UMNO,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom menghantar notis bantahan kepada RoS susulan PAU 2022 memutuskan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertingginya.

Muhammad Aizat Fikri mendakwa, tindakan tersebut telah melanggar Peraturan 10 dalam perlembagaan parti yang menyatakan sebarang usul perlulah disampaikan dalam tempoh 14 hari.

Sementara itu, Ahmad menerusi kenyataan peguam parti menjelaskan, pencadang usul (Negeri Sembilan) telah mencadangkan pindaan dengan menambah usul kelapan menggunakan Peraturan Persidangan 20.3.3.

“Berdasarkan peraturan persidangan, sesuatu masalah, apabila dikemukakan (semula) oleh pengerusi, bolehlah dipinda menurut semua atau mana-mana jua cara yang tersebut di bawah: dengan dimasukkan atau ditambah perkataan-perkataan lain.

“Pengerusi Tetap ketika itu telah mengambil keputusan untuk membenarkan pindaan tambahan tersebut dengan syarat penyokong usul (Terengganu) menyokong sepertimana di bawah Fasal 21.1 Peraturan Persidangan.

“Dalam persidangan, sesuatu usul atau pindaan tidak akan dikemukakan oleh pengerusi kecuali jika usul atau pindaan tersebut telah disokong,” ujarnya.

Tambah beliau, setelah penyokong usul menyokong pindaan tersebut, maka Pengerusi Tetap mengambil keputusan untuk mengemukakan pindaan tambahan itu ke perbahasan.

Jelasnya, keputusan-keputusan Pengerusi Tetap adalah muktamad mengikut Peraturan Persidangan 2.1.

“Semasa tempoh perbahasan, telah diadakan forum untuk pembahas membahaskan persetujuan atau tidak terhadap pindaan tambahan tersebut dan bagi perwakilan untuk mempertimbangkan usul-usul berkenaan.

“Pucuk pangkalnya, boleh dikatakan lebih 90 peratus perwakilan bersetuju dengan pindaan tambahan itu dengan mengangkat tangan, menyatakan persetujuan malahan mereka berdiri.

“Pengundian ini dijalankan sepertimana Peraturan Persidangan 27.5 iaitu....setelah tamat perbahasan dengan suara setuju atau tidak dengan mengangkat tangan dan keputusan itu hendaklah diumumkan oleh pengerusi,” katanya.