PKR lancar Rancangan Lima Tahun perkasa ahli

Rafizi (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas Konvensyen Pilihan Raya Negeri Kelantan pada Sabtu.
Rafizi (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas Konvensyen Pilihan Raya Negeri Kelantan pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal melancarkan Rancangan Lima Tahun parti itu (2023-2028) di Kelantan dan Terengganu bertujuan memperkasakan ahlinya di seluruh negara.

Rancangan yang dijangka bermula pada Mac tahun ini akan dilancarkan akhir Februari depan bagi memastikan kualiti perkhidmatan semua ahli parti.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, rancangan lima tahun itu juga bertujuan menutup jurang supaya pengundi di kedua-dua negeri boleh melihat keupayaan parti.

"Bagaimanapun, ahli perlu 'berlari sama deras' dengan kepimpinan supaya dapat memantapkan lagi parti ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Pilihan Raya Negeri Kelantan di sini pada Sabtu.

Beliau turut berharap dalam tempoh tiga bulan semua ahli parti dapat bergerak pada tahap yang lebih tinggi untuk memenangi hati rakyat di kedua- dua negeri itu.

Dalam pada itu, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi memberitahu, PKR dijangka melancarkan Koperasi PKR di seluruh negara bulan depan bagi menjaga kekuatan ekonomi parti itu.

"Tugas kerajaan ialah mengupayakan rakyat biasa tetapi bukan dengan memberi bantuan semata-mata dan perlu memperkukuhkan ekonomi," ujarnya.

Tambah beliau, parti itu menyasarkan 20 hingga 30 peratus daripada 1.2 juta ahlinya menyertai koperasi berkenaan di seluruh negara.