Gerakan nafi keluar PN

Mak Kah Keong
Mak Kah Keong
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menafikan spekulasi parti itu akan keluar daripada Perikatan Nasional (PN) kerana bimbang akan hilang peluang untuk memenangi semula kerusi di Pulau Pinang.

Setiausahanya, Mak Kah Keong berkata, perkara itu tidak pernah dibangkitkan dalam mana-mana perbincangan dalam Gerakan kerana parti itu tetap setia bersama PN.

Beliau juga menafikan kenyataan pemimpin Gerakan Kelantan, Ong Khang Woon bahawa terdapat pihak tertentu di dalam parti itu ingin mereka keluar dari PN kerana terdapat pergolakan.

“Itu hanya spekulasi dibuat-buat dan Gerakan tidak pernah menyatakan hasrat seperti itu malah isu (keluar dari PN) ini tidak pernah bangkit dalam mana-mana perbincangan dalam Gerakan kerana kami tetap setia bersama PN.

“Ini semua fitnah yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan saya tidak tahu apa motif sebenar mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Kah Keong menegaskan tiada sebarang pihak atau pemimpin Gerakan yang tidak berpuas hati terhadap pimpinan di bawah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Sekarang Gerakan hanya fokus kepada persediaan dalam Pilihan Raya Negeri yang akan datang bukannya isu bangsa dalam PN.

"Gerakan berharap agar pemimpin-pemimpin PN iaitu rakan seperjuangan dalam Pas dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tidak mudah percaya dengan hasutan murahan ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pimpinan parti itu untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh merosakkan hubungan yang terjalin dalam PN.