Majlis Perundingan Islam akan disemarakkan semula

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Islam (MPI) yang menghimpunkan 83 tokoh-tokoh Islam termasuk bekas Mursyidul Aam Pas, Allahyarham Datuk Dr Haron Din akan disemarakkan semula.

Bekas ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, difahamkan Majlis Ulamak UMNO juga diminta memainkan peranan dalam usaha untuk membantu menggerakkan semula MPI.

Menurutnya, MPI dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2016.

"Sebanyak 7 program dalam bentuk Multaqa dan Ijtimak menghimpunkan lebih ramai lagi tokoh-tokoh Islam dalam masyarakat termasuk daripada Pas berjaya dilaksanakan antara tahun 2016 hingga 2018.

"Resolusi-resolusi Multaqa dan Ijtimah telah berjaya dilaksanakan sebahagiannya ketika itu," katanya melalui Facebook pada Khamis.

Media melaporkan, Pas amat mengalu-alukan penubuhan majlis ulama dalam UMNO, kerana ia mampu merapatkan hubungan kedua-dua parti.

Mursyidul Am Hashim Jasin berkata, hubungan kedua-dua parti itu akan boleh dirapatkan melalui program berlandaskan Islam yang melangkaui perbezaan politik.

Tambah Mohd Khairuddin, beliau mengucapkan terima kasih kepada Hashim yang mengalu-alukan penubuhan Majlis Ulamak UMNO.

Artikel Berkaitan:

"Harapan beliau agar UMNO dan Pas dapat dirapatkan hubungan menerusi program berlandaskan Islam yang melangkaui perbezaan parti sangat wajar kerana UMNO dan Pas sememangnya perlu sentiasa bekerjasama bagi memperkukuhkan Islam dalam negara termasuk ke arah perpaduan umat dan rakyat," jelasnya.