Siasat menyeluruh dakwaan ketirisan RM4 bilion

Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil tindakan susulan pendedahan DatuK Seri Anwar Ibrahim yang mengenal pasti RM3 bilion hingga RM4 bilion bocor ke parti dan tokoh tertentu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, SPRM dan PDRM perlu segera melakukan siasatan secara menyeluruh.

"Rakyat dan ahli-ahli Parlimen akan menyokong usaha Perdana Menteri untuk membanteras rasuah.

"Saya ingin mengingatkan bahawa pendedahan demi pendedahan hal rasuah, ketirisan dan kebocoran tidak akan sampai ke mana-mana jika tiada tindakan siasatan dan pendakwaan dilakukan.

"Dalam memerangi rasuah, kaedah sekadar retorik sahaja tidak diperlukan. Apa yang diperlukan ialah siasatan secara forensik ke akar umbi hal ketirisan dan kebocoran itu berlaku kerana ini duit negara dan duit rakyat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Anwar dalam majlis dialog Belanjawan 2023 di Putrajaya pada Selasa menegaskan Malaysia mampu menyelamatkan sehingga RM10 bilion kebocoran dalam sistem perolehan kerajaan sekiranya amalan rasuah dapat dihentikan di semua peringkat.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, siasatan tersebut perlu diteruskan ke peringkat pendakwaan kerana tiada gunanya siasatan sekiranya fail kes berkenaan ditutup selepas disiasat.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, pendakwaan mesti cekap serta professional dan kes yang akan dibawa ke mahkamah mesti kukuh daripada segi fakta dan undang-undang supaya penjenayah kolar putih ini tidak boleh terlepas.

Artikel Berkaitan:

"Walau apapun, permulaan yang baik dan positif telah diambil inisiatif oleh Perdana Menteri. Maka agensi lain seperti SPRM, PDRM dan Jabatan Pendakwa Raya serta Peguam Negara tidak boleh berpeluk tubuh sahaja," katanya.