Parti politik perlu masa sesuaikan diri

Rodziah ketika Wacana Sinar ke-379 bertajuk ‘Politik: Bergolak Tak Sudah’ yang diadakan di Kompleks Karangkraf, di sini, pada Selasa.
Rodziah ketika Wacana Sinar ke-379 bertajuk ‘Politik: Bergolak Tak Sudah’ yang diadakan di Kompleks Karangkraf, di sini, pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti politik di dalam negara memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan baharu yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) khususnya dalam isu pembentukan kerajaan terdiri daripada pelbagai parti.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rodziah Ismail menyifatkan pergolakan politik yang terjadi ketika ini sebagai ‘riak-riak ombak’ yang berlaku akibat perkembangan baharu politik di dalam negara.

“Kita kena melihat pasca pilihan raya ini atau pembentukan kerajaan ini adalah sesuatu yang memang kita tidak pernah lalui sebelum ini.

“Kita tidak nafikan bahawa ada beberapa atau sebenarnya semua parti sedang menstabilkan organisasi masing-masing. Baik dalam Pakatan Harapan, mungkin UMNO dan Pas juga semuanya pasti dalam dua bulan ini mencari rentak semula.

“Kemudian wujudnya Kerajaan Perpaduan, ia memberikan satu dimensi baru dalam politik negara,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam Wacana Sinar ke-379 bertajuk ‘Politik: Bergolak Tak Sudah’ yang diadakan di Kompleks Karangkraf, di sini, pada Selasa.

Dari kiri: Moderator, Ismail Adnan; Rodziah; Mohd Khairuddin dan Jahaberdeen Mohamed Yunoos ketika Wacana Sinar ke-379 bertajuk ‘Politik: Bergolak Tak Sudah’ yang diadakan di Kompleks Karangkraf, di sini, pada Selasa.
Dari kiri: Moderator, Ismail Adnan; Rodziah; Mohd Khairuddin dan Jahaberdeen Mohamed Yunoos ketika Wacana Sinar ke-379 bertajuk ‘Politik: Bergolak Tak Sudah’ yang diadakan di Kompleks Karangkraf, di sini, pada Selasa.

Hadir sama bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Pengasas Pergerakan Rapera, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Rodziah yang juga Exco Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor turut berkata, kewujudan blok pembangkang sangat penting untuk mewujudkan semak dan imbang kepada kerajaan.

“Saya berpengalaman di Dewan Undangan Negeri (DUN) selaku exco, saya lihat pembangkang itu kadang-kadang ada beri cerminan juga kepada pentadbiran kita.

“Mungkin kita tidak perasan atau ada benda-benda yang kita terlepas pandang. Kita kena bersikap terbuka. Tidak semua yang pembangkang cakap itu adalah bagi menempelak kita, ada juga yang baik dan perlu kita uruskan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah menjadi cabaran untuk pembangkang khususnya Perikatan Nasional (PN) untuk memastikan mereka mampu memainkan peranan membina berlandaskan fakta dan bukan semata-mata retorik.

Mengulas mengenai kemungkinan kerjasama antara BN dan PH bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini, Rodziah bekata beliau dimaklumkan bahawa perbincangan dijangka bermula sekitar Februari atau pada penghujung Mac ini.

PH dan BN mencipta sejarah dalam politik negara apabila buat pertama kalinya bekerjasama bagi membentuk kerajaan selepas PRU15.

Enam negeri yang masih belum melaksanakan pilihan raya dijangka membubarkan DUN masing-masing bermula seawal Mei ini.