Henti kritik kerajaan, beri peluang buktikan kemampuan

Wee Tse (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima selepas Program Back To School di Kampung Kopok Baru, Pasir Gudang pada Selasa.
Wee Tse (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima selepas Program Back To School di Kampung Kopok Baru, Pasir Gudang pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Rakyat perlu bersabar dan memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan Malaysia untuk mengemudi negara dan bukan berterusan mengkritik.

Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, masih terlalu awal untuk membuat penilaian kerana Kerajaan Perpaduan tidak sampai sebulan mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

"Saya faham harapan dan aspirasi rakyat tinggi tetapi dalam apa juga usaha yang kita buat akan ambil masa. Kita kena teliti dan buat perancangan yang terbaik, barulah hasilnya nanti bagus.

"Kami harap rakyat boleh beri sedikit masa kepada Kerajaan Perpaduan untuk rangka dasar dan polisi yang baik. Kita juga perlu mengenal pasti isu-isu diwarisi kerajaan terdahulu dan membaikinya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Back To School anjuran Parlimen Tebrau dan Persatuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Pasir Gudang di Kampung Kopok Baru di sini pada Selasa.

Wee Tse yang juga Naib Pengerusi II Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor mengulas kritikan orang ramai terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk dakwaan kerajaan gagal mengurus negara.

Sementara itu, beliau akan menulis surat kepada kerajaan Persekutuan supaya memberikan peruntukan untuk kawasan Parlimen bukan secara sama rata seperti sebelum ini, sebaliknya mengikut keluasan kawasan dan populasi.

"Saya akan suarakan perkara ini di Parlimen yang akan bersidang bermula 13 Februari ini. Perkara ini penting kerana jumlah penduduk di setiap kawasan Parlimen adalah berbeza," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Parlimen Tebrau adalah kawasan pilihan raya terbesar di negeri ini dengan keluasan 136,000 hektar yang mempunyai 223,000 pengundi berdaftar direkodkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Terdahulu ketika berucap, Wee Tse meminta rakyat supaya kembali bersatu padu tanpa memikirkan fahaman politik masing-masing kerana PRU sudah berakhir dan kini masa untuk membangunkan negara.

Beliau tidak menafikan selepas PRU15 terdapat perbahalahan antara parti politik kerana ideologi masing-masing berbeza, namun semua itu sudah diketepikan selepas Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya diwujudkan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Semua pihak katanya, perlu mempraktikkan budaya politik matang dan amalan berkenaan akan diamalkan di bawah Kerajaan Perpaduan Malaysia dengan tidak membeza-bezakan latar belakang rakyat.

"Rakyat sudah buat keputusan semasa PRU sama ada undi saya atau tidak, saya akan tetap jaga semua. Saya tidak pernah mengamalkan politik yang melihat latar belakang sama ada orang Pas, UMNO dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

"Begitu juga sama ada Melayu, Cina, India atau Islam dan Kristian, semua kena jaga. Sudah tiga tahun kerajaan tidak stabil, rakyat muak dan ekonomi mundur. Kita nak tarik pelaburan asing," ujar bekas Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Negeri Johor itu.