Haniza desak RoS siasat kesahihan Larry sebagai Presiden PBM

Haniza
Haniza
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parti Bangsa Malaysia, Haniza Talha mendesak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menyiasat kesahihan Datuk Larry Sng Wei Shien sebagai presiden parti tersebut.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya berkata, ini kerana jawatan tersebut sepatutnya diserahkan kepada bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin seperti yang dipersetujui pada Persidangan Agung Tahunan (PAT).

“Dengan tegas, saya serta rakan-rakan pimpinan menolak sepenuhnya kepimpinan Datuk Larry Sng sebagai Presiden Parti Bangsa Malaysia.

“Kami mendesak pihak Pendaftar Pertubuhan menyiasat kesahihan Datuk Larry Sng sebagai Presiden selepas PAT memutuskan Datuk Zuraida Kamaruddin mengambil alih jawatan tersebut.

“Disebabkan oleh sikap beliau yang telah membelakangi perjanjian dan mandat yang telah diputuskan oleh ahli PBM di dalam PAT PBM pada Oktober 2022 yang lepas, keadaan parti pada ketika ini terumbang-ambing dan menyebabkan kekeliruan di kalangan pemimpin dan ahli PBM,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada 8 Oktober, bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dilantik sebagai presiden baharu PBM dan dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi.

Namun begitu, berlaku kemelut dalaman dan jawatan Presiden masih dikekalkan kepada Larry dan beliau bertindak menggantung keahlian 12 ahli Majlis Tertinggi (MT) parti tersebut.

Jelas Haniza, Larry juga perlu berhenti untuk tidak memanipulasikan keadaan sehingga menjadi kucar-kacir seperti sekarang.

Artikel Berkaitan:

“Kegagalan Larry dalam mentadbir dan menguruskan parti juga jelas terserlah apabila beliau dengan semberono telah menggunakan jawatan beliau untuk kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan kesan terhadap ahli-ahli PBM di seluruh negara.

“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Larry telah menggunakan surat watikah pelantikan calon untuk mengugut kepimpinan PBM agar kami menuruti kehendak beliau.

“Selepas PRU15 berakhir, beliau menggunakan PBM untuk menjalin kerjasama dengan parti-parti lain tanpa berbincang dahulu dengan mana-mana pemimpin atau ahli parti,” ujarnya.

Tambah Haniza, Larry juga disifatkan sebagai tidak matang apabila beliau membuat hantaran di Facebook disebabkan tidak tersenarai di dalam barisan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

“Tindakan yang beliau lakukan ini jelas memaparkan bahawa beliau tidak langsung memikirkan kehendak ahli parti dan hanya bertindak demi kepentingan peribadi beliau semata-mata.

“Larry telah menggunakan parti ini hanya sebagai batu loncatan untuk mendapatkan pengaruh dan jawatan di peringkat nasional dan tidak memaparkan langsung nilai-nilai yang dipegang oleh PBM untuk pembangunan seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.