Majoriti akar umbi PBM tidak setuju tindakan Larry - Zuraida

ZURAIDA
ZURAIDA
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin mendakwa majoriti akar umbi parti itu tidak bersetuju dengan tindakan Presidennya, Datuk Larry Sng dalam menguruskan organisasi tersebut.

Beliau berkata, beberapa langkah dangkal dilakukan Larry yang mendedahkan hal berkaitan kerahsiaan parti di media sosial di samping kenyataan berbolak-balik telah merosakkan imej PBM dan mendatangkan kegusaran dalam kalangan ahli parti.

“Sebagai sebuah parti yang demokratik, Presiden PBM sepatutnya berbincang dahulu sebelum melaksanakan sebarang tindakan ataupun membuat keputusan tertentu.

“Pada ketika ini, sifat Datuk Larry Sng telah memaparkan ketidakmatangan, keangkuhan dan kegagalan beliau untuk berfikir secara rasional dalam menguruskan parti ini.

“Ini termasuk tindakan beliau yang sebelum ini telah mengugut pemimpin lain dengan menggunakan kuasa beliau untuk menandatangani watikah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lepas,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Zuraida mendakwa, tindakan Larry yang merupakan Ahli Parlimen Julau itu juga dilihat berlaku setelah beliau dan pasukannya membangunkan PBM daripada awal penubuhannya dengan penambahan kekuatan anggota badan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Komuniti Negara.

Beliau yang juga bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, langkah itu dibuat dengan perjanjian bahawa kepimpinan terpenting parti itu diserahkan kepadanya serta-merta berikutan pengumuman beliau untuk menyertai PBM pada 26 Mei lalu.

“Perkara juga telah diabsahkan melalui usul di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Parti di peringkat nasional, tetapi setelah PRU15 berlangsung Datuk Larry Sng seolah-olah memungkiri janji, malahan bertindak tanpa segan silu membelakangi kehendak majoriti ahli PBM dan telah menyalahgunakan jawatannya untuk kekal berkuasa.

Artikel Berkaitan:

“Sungguhpun begitu, hal ini saya serahkan kepada ahli PBM serta pihak pendaftar pertubuhan untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya yang juga bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam pada itu, Zuraida berkata, khidmat baktinya untuk memperkasa agenda membina negara akan tetap diteruskan melalui kapasiti sedia ada di peringkat global, lokal serta dalam komuniti termasuk melalui pelaksanaan aktiviti kebajikan dan sosial.

Katanya, gerak kerja dan aspirasi untuk membawa agenda progresif bagi rakyat Malaysia juga akan saya diteruskan menerusi pelbagai platform khususnya melalui Pertubuhan Penggerak Komuniti Negara dan gagasan besar Muafakat Nasional.

Pada 30 Oktober lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan Larry masih lagi merupakan Presiden PBM berdasarkan rekod yang berada di jabatan tersebut.