Tak wajar minta rakyat 'kawal harga barang'

Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali
Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali
A
A
A
SHAH ALAM - Mengharapkan golongan berpendapatan rendah untuk mengurangkan permintaan terhadap barangan sebagai langkah mengekang kenaikan harga adalah tidak wajar, tegas Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menasihatkan pengguna untuk tidak membeli barangan dijual oleh peniaga yang melebihi daripada harga purata.

Beliau berpandangan, kenaikan harga perlu dibendung dengan menurunkan permintaan adalah kenyataan yang ‘terlalu mudah’.

“Ia seolah-olah menggambarkan penurunan permintaan adalah antara penyelesaian kenaikan harga. “Intervensi untuk meningkatkan keanjalan permintaan kumpulan berpendapatan rendah? Ini tidak betul dan tidak wajar.

“Dalam kes yang ekstrem, adakah tiada permintaan langsung merupakan langkah efektif membendung kenaikan harga? Ini bukan penyelesaian!” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Rafizi ketika sidang akhbar penerbitan indeks harga pengguna (IHP) November 2022 pada Jumaat berkata, sekiranya pengguna tidak membeli produk yang menawarkan harga yang tidak berpatutan, ia bakal memberi gambaran kepada peniaga dan pembekal untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.

Noor Azlan yang juga Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) berkata, Rafizi mencadangkan intervensi permintaan dilaksanakan tanpa memperincikan bentuk intervensi yang akan diambil.

“Ramai yang menghubungi saya bertanya mengenai kenyataan ini. Sebaiknya pihak berkenaan lebih berhati-hati dan memahami secara menyeluruh dalam mengutarakan cadangan penyelesaian ke atas masalah ekonomi. Dapatkan pakar ekonomi yang betul.

“Kaji secara terperinci apakah punca yang menyebabkan kenaikan harga, bukan ‘kesan-akibat’ kenaikan harga. “Apakah faktor yang menyumbang pada kenaikan harga makanan sejak kebelakangan ini? Pastinya bukan disebabkan oleh peningkatan permintaan, permintaan stabil dan tiada lonjakan akibat musim perayaan,” jelasnya.
Artikel Berkaitan:


Ujar beliau, besar kemungkinan peningkatan harga barangan berpunca daripada kekurangan bekalan.

Katanya, dengan kadar pengeluaran kendiri pengeluaran ayam dan telur ayam mencecah 104 peratus dan 115 peratus, jelas menunjukkan kenaikan harga tersebut berpunca daripada bekalan.

“Bekalan kurang disebabkan oleh pengurangan pengeluaran oleh pengeluar tempatan atau pun bekalan dieksport ke pasaran yang lebih menguntungkan.

“Mengharapkan penurunan permintaan sebagai penyelesaian kepada kenaikan harga adalah tidak betul.

“Keanjalan permintaan merujuk kepada respon permintaan terhadap kenaikan harga. Umumnya kenaikan harga menyebabkan permintaan menurun. Sekiranya kadar penurunan permintaan lebih besar daripada kadar kenaikan harga, permintaan dianggap anjal.

“Keanjalan tertakluk kepada beberapa faktor penentu utama, antaranya status produk, keupayaan beralih kepada produk lain, tahap pendapatan dan kesegeraan keperluan produk berkenaan,” jelasnya.

Menurut beliau, pengguna terpaksa mengorbankan perbelanjaan yang lain, khususnya golongan berpendapatan rendah yang dilihat tidak mempunyai banyak pilihan.

“Profil perbelanjaan yang lebih terperinci diperlukan khususnya mengikut kelas pendapatan untuk menteri merumuskan status keanjalan permintaan.

“Kumpulan berpendapatan tinggi lazimnya mempunyai keanjalan yang rendah terhadap kenaikan harga.

“Dalam konteks harga ayam dan telur ayam, mungkin permintaan mereka langsung tidak anjal. Adakah kumpulan ini yang dimaksudkan oleh menteri ekonomi?” soalnya.