Annuar pilih parti sedia ada, tidak tubuh parti baharu

Annuar menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Ketereh pada Sabtu.
Annuar menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Ketereh pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa pada Sabtu memberitahu, akan menyertai salah satu daripada tiga parti yang membuat tawaran sebelum ini.

Beliau turut menjelaskan tidak akan menubuhkan parti baharu kerana bimbang semakin banyak perpecahan dalam kalangan rakyat terutama orang Melayu.

Menurut beliau, pilihannya ialah sebuah parti yang menyatu padukan umat Islam, jujur dan tiada penyalahgunaan kuasa.

"Tidak dinafikan kemungkinan saya akan menyertai salah satu parti politik yang bertepatan dengan jiwa perjuangan saya.

"Sudah pasti parti itu boleh menjadi payung kepada rakyat dan tidak meminggirkan hak-hak bukan Islam," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Sri Kulim, Melor.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini beliau mahu menumpukan perhatian untuk menjadikan MN sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkredibiliti, berwibawa dan dihormati.

Annuar turut memaklumkan akan membuat penilaian semula jika sudah mula aktif berpolitik.

Pada masa sama, Annuar turut menegaskan MN bukan parti politik dan tidak bercadang mendaftar sebagai sebuah parti tetapi meneruskan agenda program kebajikan.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, misi MN ialah menggalakkan permuafakatan dalam kalangan parti politik dan sehingga kini sudah menerima permohonan lebih 30,000 keahlian.

"Kita akan membuka keahlian bersekutu kepada semua NGO untuk bekerjasama dalam program kebajikan dan misi kemanusiaan," katanya.