Tragedi Batang Kali: Polis kenal pasti identiti empat mangsa

Empat mayat ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di Jalan Genting, Batang Kali pada Khamis. - Foto Bernama
Empat mayat ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di Jalan Genting, Batang Kali pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

BATANG KALI - [DIKEMAS KINI] Polis mengenal pasti identiti empat mangsa tanah runtuh yang ditemui bergulung di dalam khemah di kedalaman tujuh meter di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, proses bedah siasat melibatkan kesemua mangsa berkenaan telah pun selesai dijalankan pada Khamis.

"Kesemua mayat telah dituntut oleh waris," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis Sinar Harian melaporkan, mayat kesemua mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan wanita dewasa serta dua kanak-kanak ditemui sekitar jam 11.04 pagi di sektor C (riverside) di sini.

Mengulas lanjut Suffian berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari kelapan dibantu dengan kekuatan seramai 97 anggota daripada beberapa agensi penyelamat.

"Usaha pengesanan turut dibantu oleh unit anjing pengesan (K9) sebanyak sembilan ekor daripada bomba dan polis.

"Setakat jam 6 petang Khamis, seramai 61 orang terselamat, 30 disahkan meninggal dunia dan seorang masih belum ditemui," katanya.

Bagaimanapun, operasi SAR telah ditangguhkan atas faktor keselamatan berikutan cuaca hujan di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan: