Kerajaan, swasta digalak optimum guna sijil MS ISO 39001:2013

Anthony (tengah) ketika menyempurnakan majlis penutup Program Pemerkasaan Sistem Pengurusan Keselamatan Trafik Jalan Raya pada Jumaat.
Anthony (tengah) ketika menyempurnakan majlis penutup Program Pemerkasaan Sistem Pengurusan Keselamatan Trafik Jalan Raya pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Organisasi kerajaan dan swasta digalakkan untuk mengoptimumkan penggunaan pensijilan MS ISO 39001:2013 dan Malaysia Standard (MS) sokongan berkaitan bagi meningkatkan kualiti kerja, keselamatan serta produktiviti.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, MS ISO 39001:2013 ialah satu adaptasi piawaian antarabangsa yang dihasilkan sebagai satu kaedah dalam membantu semua organisasi mengurangkan risiko kematian dan kecederaan akibat pelanggaran jalan raya mengikut ruang kawalannya.

"Saya berharap agar pemain industri akan mengoptimumkan penggunaan MS yang dihasilkan untuk menambah nilai perkhidmatan masing-masing dan berganding bahu dengan kerajaan dalam mencapai perkhidmatan pengangkutan bertaraf antarabangsa.

“Isu kematian dan kecederaan akibat pelanggaran dan insiden jalan raya merupakan satu cabaran antarabangsa yang semakin meruncing.

“Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Sedekad Tindakan Keselamatan Jalan Raya PBB, Malaysia komited untuk menurunkan 50 peratus kadar kematian akibat pelanggaran jalan raya pada 2030 melalui Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 dan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM) 2022-2030.

“Sedekad Tindakan Keselamatan Jalan Raya PBB telah mengenal pasti pengurusan keselamatan trafik jalan raya sebagai salah satu tonggak dalam menguruskan isu keselamatan jalan raya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Jumaat, Anthony telah menyempurnakan majlis penutup Program Pemerkasaan Sistem Pengurusan Keselamatan Trafik Jalan Raya anjuran bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menerusi Jabatan Standard Malaysia (JSM).

Ujarnya, program itu dianjurkan bertujuan mendapatkan maklum balas pemain industri dan agensi kerajaan yang berkaitan mengenai draf MS Sistem Pengurusan Keselamatan Lalulintas Jalan Raya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dokumen draf MS yang dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui JSM itu menyediakan garis panduan kepada pihak penyedia perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran (operator) dan pengendali kenderaan (pemandu dan penunggang kenderaan) dalam meningkatkan kualiti servis dan pengoperasian perkhidmatan e-hailing dan p-hailing yang ditawarkan.

“Inisiatif untuk mengurangkan risiko kemalangan jalan raya ini juga turut melibatkan pihak-pihak berkepentingan lain seperti pelanggan, orang awam mahupun pengguna jalan raya.

“Dokumen draf MS ini merupakan dokumen sokongan kepada MS ISO 39001:2013 Road Traffic Safety Management System (RTSMS).

“Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif yang sangat baik memandangkan permintaan perkhidmatan ini yang sangat tinggi.

“Dokumen ini adalah salah satu daripada 4,811 MS yang merentasi pelbagai sektor industri yang telah dibangunkan oleh pihak JSM," jelasnya.

Anthony menegaskan, keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab semua pihak dan bukanlah tanggungjawab MOT semata-mata.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak MITI yang telah membuktikan konsep tersebut melalui penghasilan MS berkaitan keselamatan trafik jalan raya.