50 peratus daerah Tumpat ditenggelami air

Ban Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kuala Teluk Kampung Lanchang Rantau Panjang pecah mengakibatkan lebih 50 peratus kawasan di daerah ini ditenggelami air. Gambar kecil: Roslan
Ban Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kuala Teluk Kampung Lanchang Rantau Panjang pecah mengakibatkan lebih 50 peratus kawasan di daerah ini ditenggelami air. Gambar kecil: Roslan
A
A
A

TUMPAT - Limpahan banjir dari Sungai Golok dan ban Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kuala Teluk Kampung Lanchang Rantau Panjang pecah mengakibatkan lebih 50 peratus kawasan di daerah ini ditenggelami air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat mengakui, banjir kali ini lebih teruk dan ramai penduduk terjejas.

Menurut beliau, kawasan paling teruk terjejas ialah Kampung Kubang Sawa, Kampung Teluk Jering selain kawasan sekitar Pantai Geting.

"Kita sudah melakukan tinjauan di ban PLSB, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Kerajaan Persekutuan.

"Projek berkenaan perlu disegerakan berikutan keadaan banjir tiada kesudahan dan untuk mengelakkan penduduk daripada bencana ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum menaiki bot untuk solat Jumaat di Masjid Ittihadi, Kampung Kubang Sawa di sini pada Jumaat.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan projek PLSB akan diteruskan seperti yang dirancang.

Beliau turut memberi jaminan akan mempercepatkan projek fasa 1 dan 2 selepas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengemukakan kos kepada Kementerian Kewangan.

Artikel Berkaitan:

Bercakap mengenai bantuan, Wan Roslan memberitahu, kerajaan negeri sentiasa memberi bantuan kepada mangsa banjir.

"Perkara ini dalam makluman Menteri Besar ( Datuk Ahmad Yakob) dan semua ADUN diarahkan membantu mangsa banjir," katanya.

Ikuti perkembangan semasa mengenai banjir di seluruh negara di sini!