Waran tangkap dikeluarkan terhadap Emilia

Emilia Hanafi. - Foto fail Bernama
Emilia Hanafi. - Foto fail Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Sekali lagi, bekas isteri ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal, Emilia Hanafi dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa kerana gagal hadir dalam prosiding lawatan tiga anaknya.

Ketika dihubungi, peguam syarie, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff yang mewakili SM Faisal berkata, mahkamah mengeluarkan waran itu selepas Emilia selaku responden bersama peguam syarienya, Nazri Yahya tidak hadir tanpa sebab.

Ekoran perkara itu, beliau berkata, prosiding yang dijadualkan berlangsung awal pagi, tertunda sehingga jam 1 tengah hari kerana menunggu kehadiran responden.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Syarie, Azzeman Omar, beliau menghujahkan bahawa, responden dan peguamnya gagal untuk hadir, biarpun tarikh prosiding lalu, pada 21 September, dihadiri kedua-dua pihak.

"Selain itu responden juga gagal memfailkan afidavit tunjuk sebab, dua minggu sebelum tarikh bicara ditetapkan hari ini," katanya.



Mendengar perkara itu, mahkamah kemudiannya mengeluarkan arahan waran tangkap terhadap Emilia.

Turut mewakili ahli perniagaan itu ialah peguam syarie, 'Izzah Shakirah Mohd Sukor.

Difahamkan, ini merupakan waran tangkap kedua dikeluarkan mahkamah sama terhadap Emilia.

Sementara itu, Nazri berkata, pihaknya baru sahaja mengetahui mengenai isu waran tangkap tersebut pada pagi Rabu.

"Dalam rekod kami, prosiding yang ditetapkan pada Selasa, untuk memfailkan afidavit tambahan, malah peguam dan Emilia sendiri hadir ke mahkamah bagi tujuan tersebut sejak jam 8.30 pagi.
Artikel Berkaitan:


"Kami terkejut apabila mendapat tahu bahawa waran tangkap dikeluarkan terhadap Emilia, " katanya kepada Sinar Harian.

Nazri berkata, selepas anak guamnya menjalani hukuman tujuh hari penjara, dia tidak pernah gagal untuk menghadiri mana-mana prosiding syariah atau sivil.

Apa yang berlaku dalam prosiding sebagai mana yang didakwa peguam SM Faisal katanya, amat tidak disengajakan.

Oleh itu beliau berkata, mereka akan memberi penjelasan dan mendapatkan arahan lanjut daripada mahkamah, pada Khamis.

Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah di sini, menjatuhi hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia selepas membenarkan permohonan komital (menghina mahkamah) yang difailkan SM Faisal, 43, kerana wanita itu mengubah tarikh lawatan anak-anaknya.

Emilia kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan.

Wanita itu kemudian memfailkan rayuan berhubung komital di Mahkamah Rayuan Syariah di sini.

Bagaimanapun, pada 1 Disember 2020 Mahkamah Rayuan Syariah menolak rayuan itu kerana peguam (terdahulu) menarik diri malah Emilia tidak hadir pada prosiding tersebut.

Pada 8 Jun lalu, Emilia memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah di sini yang menjatuhi hukuman penjara berkenaan.

Permohonan dibuat menerusi Tetuan Nizam Bashir & Associates di Mahkamah Tinggi dan menamakan SM Faisal Syed 43, serta bekas ibu mentuanya, Puan Sri Zaleha Ismail, 70, sebagai responden.

Turut dinamakan ialah Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia.

Pada 27 Jun lalu, Emilia menjalani hukuman penjara tujuh hari atas kesalahan gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengenai tarikh lawatan tiga anaknya.

Pada 15 Jun lalu, Mahkamah Majistret di sini turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Emilia kerana gagal hadir sebagai saksi pendakwaan, dalam kes jenayah terhadap bekas suaminya.

Waran tangkap dibatalkan pada 6 Julai, selepas mahkamah berpuas hati dengan penjelasan Emilia.

Mahkamah turut memberi amaran, agar ibu kepada tiga anak lelaki berusia 10 hingga 16 tahun itu, tidak menggunakan sijil cuti sakit (MC) sebagai tiket untuk tidak hadir ke mahkamah.