Kesal hanya 60 peratus orang Islam tunai kewajipan mengundi

Tan Sri Abdul Hadi Awang
Tan Sri Abdul Hadi Awang
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kesal hanya sekitar 60 peratus orang Islam yang keluar mengundi pada pilihan raya.

Peratusan keluar mengundi itu dipercayai merujuk kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 19 November lalu.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, peratusan keluar mengundi itu menunjukkan orang Islam tidak menunaikan kewajipan mengundi dengan memberi pelbagai alasan termasuk ibadah haji dan umrah.

Ujarnya lagi, pendekatan damai melalui konsep demokrasi wajib diambil peluang oleh umat Islam secara fardu ain ke atas setiap orang Islam dalam hukum jihad menegakkan Islam di tempat masing-masing.

"Hal ini kerana pilihan raya dan mengundi merupakan jalan bagi mendapatkan kuasa pemerintahan semula kepada Islam, maka hukumnya adalah wajib.

"Kira-kira 98 peratus orang bukan Islam dari seluruh negara dan pelosok dunia yang jauh dikerah untuk mara mengundi bagi mendapatkan kuasa dalam tanah air kita ini dengan menyokong DAP dan kumpulannya dengan menjadi wadah perjuangannya walaupun mereka mengeluarkan belanja sendiri.

"Malangnya, orang Islam keluar mengundi hanya sekitar 60 peratus menunjukkan orang Islam tidak menunaikan kewajipan mengundi walaupun alasannya kerana ibadat haji dan umrah, malah ada yang menunggu upah duit dan sebagainya," dakwanya menerusi catatan Minda Presiden Pas di Facebook pada Rabu.

Katanya, jika tugas mengundi sebagai salah satu cara yang damai pun tidak ditunaikan kewajipannya bagi memenangkan Islam serta bukannya terpaksa berperang, maka kesan akibat tindakan mereka itu pasti akan lebih parah.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau mengucapkan tahniah kepada anak muda yang tampil ke hadapan walaupun ada yang jahil agama dan umur masih masih mentah namun mereka mendapat hidayah ALLAH SWT, selain mempunyai akal yang matang dan sayangkan agama serta bangsa.

Sementara itu, Abdul Hadi mendakwa pernah dihadiahkan oleh satu kumpulan pelampau iaitu sebuah kitab baharu yang dikarang dalam bahasa Arab dengan tujuan bagi mengharamkan pilihan raya dan mengundi.

"Alasan mereka adalah demokrasi Barat bukan daripada Islam dan amalannya yang tidak didapati pada zaman Rasulullah SAW.

"Hujah sedemikian adalah salah. Ia menggambarkan mereka buta agama dan terpesong daripada sifat ajaran Islam yang sempurna serta mampu sepanjang zaman mengikut pelaksanaan generasi awal khususnya para sahabat Rasulullah," katanya.

Beliau turut menjelaskan kepada mereka bahawa visa haji dan umrah dipakai serta penggunaan pasport pada zaman itu adalah amalan Barat.

"Ini termasuk melaksanakan pengurusan haji dan umrah secara perniagaan dan pentadbiran terkini juga tiada pada zaman Rasulullah SAW.

"Semuanya adalah tajdid dan islah (pembaharuan Siyasah Syar‘yyiah) yang dilakukan sejak zaman para sahabat Khulafa’ al-Rasyidin dan Tabi‘in selepasnya mengikut konsep Islam dan banyak ijtihad para ulama muktabar yang menjadi rujukan," jelas beliau.