MoU bukti tiada kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan - Pemuda PN

Wong Chia Zhen
Wong Chia Zhen
A
A
A

SHAH ALAM - Perjanjian persefahaman (MoU) yang memaksa ahli Parlimen undi usul kepercayaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau kerajaan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) membuktikan tiada kesepakatan dan kepercayaan antara parti-parti gabungan terhadap satu sama lain.

Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wong Chia Zhen berkata, MoU yang dimeterai antara gabungan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia itu bertujuan menyekat ahli-ahli yang berkemungkinan tidak sehaluan.

"Saya berpendapat ini bercanggah dengan tujuan usul undi percaya yang ingin membuktikan keabsahan Perdana Menteri dan memberi keyakinan kepada rakyat jelata.

"Satu-satunya sebab saya boleh fikir adalah perlunya MoU ini adalah kerana tiada kesepakatan dan kepercayaan (trust) antara parti-parti gabungan terhadap satu sama lain," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Chia Zhen berkata, sudah wujud jawatan 'whip' dalam parti masing-masing yang bertanggungjawab untuk memastikan undian yang mencukupi bagi meluluskan sesuatu usul di Parlimen.

"Sekiranya perlunya MoU ini lagi, jelas terbukti bahawa kerajaan baru ini tidak yakin dan percaya ke atas satu sama lain dan hanya bergabung untuk mencapai cita-cita kendiri.

"Lebih-lebih lagi, ini menjadi satu jenaka kepada seluruh dunia kerana sebelum satu usul undi percaya diadakan di Parlimen, sebuah MoU sudah pun ditandatangani.

"Saya melihat ini sebagai satu aksi yang memperkecil dan mempersenda institusi Parlimen kita. Kalau perlu lagi MoU, lebih baik tidak perlu usul undi percaya ini," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, PN kekal pendirian bahawa MoU itu tidak berperlembagaan dan salah di sisi undang-undang.

"Yang lebih penting sekali, usul undi percaya ini bukan sahaja tidak mencapai matlamat asal, malah membongkarkan tiada kepercayaan sesama parti dalam kerajaan gabungan ini," tambahnya.

Terdahulu, empat gabungan politik memeterai perjanjian bersama PH bagi tujuan memperkukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia dipimpin Anwar.

Semua gabungan politik itu diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, manakala PH diwakili Anwar sebagai pengerusinya.