Syarat MoU Kerajaan Perpaduan tidak dibincangkan Majlis Tertinggi BN

MIC mendakwa syarat-syarat terkandung dalam MoU yang ditandatangani antara parti gabungan Kerajaan Perpaduan tidak pernah dibincangkan Majlis Tertinggi BN.
MIC mendakwa syarat-syarat terkandung dalam MoU yang ditandatangani antara parti gabungan Kerajaan Perpaduan tidak pernah dibincangkan Majlis Tertinggi BN.
A
A
A

SHAH ALAM - MIC mendakwa syarat-syarat terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara parti gabungan Kerajaan Perpaduan tidak pernah dibincangkan Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agungnya, RT Rajasekaran berpandangan Majlis Tertinggi BN tidak pernah memanggil sebarang mesyuarat untuk membuat keputusan berkenaan secara bersama selepas mesyuarat terakhir pada 22 November lepas.

Beliau menegaskan di bawah Perlembagaan BN, Pengerusi gabungan itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan berkaitan dengan ahli-ahli Parlimen BN tanpa berunding dengan parti komponen dalam gabungan itu.

"Ia juga terpakai kepada Akuan Berkanun (SD) yang kononnya ditandatangani oleh ahli-ahli Parlimen BN sebelum Pilihan Raya Umum (PRU). SD tidak pernah disahkan dan diluluskan oleh Majlis Tertinggi BN.



"Saya juga percaya bahawa tidak semua ahli Parlimen BN telah menandatangani SD.

"Saya membangkitkan isu SD di sini dan sekiranya terdapat hujah balas bahawa Pengerusi BN telah diberikan kuasa tanpa had di bawah SD tersebut," katanya seperti dipetik menerusi laporan Astro Awani pada Ahad.

Pada Khamis, lima gabungan parti politik utama iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di Putrajaya bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

Mou itu dimeterai Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun; Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dan Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr, yang disaksikan semua pengerusi gabungan terlibat.

Artikel Berkaitan:

Antara syarat dalam dokumen perjanjian Kerajaan Perpaduan itu ialah mengikat mana-mana Ahli Parlimen yang gagal, enggan dan cuai untuk mengekalkan keabsahan Kerajaan Perpaduan Malaysia dalam sebarang undian di Parlimen perlu mengosongkan kerusi mereka serta-merta.

Dokumen itu antara lain menjelaskan, setiap parti gabungan hendaklah mengundi untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan keabsahan Kerajaan Persekutuan.

Turut digariskan ialah setiap parti hendaklah bertanggungjawab menguruskan secara dalaman bagi memastikan sokongan Parlimen untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan Malaysia dalam sebarang undian.

Dalam pada itu, Rajasekaran yang juga pengamal undang-undang mendakwa, sehingga hari ini tidak percaya mana-mana parti komponen diberikan salinan SD yang telah mereka laksanakan sebelum ini.

Justeru, beliau mempersoalkan bagaimana Pengerusi BN melaksanakan MoU tanpa mendapat kelulusan Majlis Tertinggi.

Rajasekaran juga percaya parti komponen mahupun ahli Majlis Tertinggi BN tidak diberi salinan MoU untuk disemak dan memberi pendapat mereka tentang syarat perjanjian.

"Ini menunjukkan jelas sekali bahawa MoU itu tidak boleh dan tidak boleh mengikat mana-mana Ahli Parlimen sekiranya Majlis Tertinggi BN tidak mengesahkan perjanjian tersebut.

"Ia juga tidak sesuai dengan tugas mana-mana ahli Parlimen untuk mengikat diri mereka dengan kerajaan ini tanpa terlebih dahulu mengambil kira kepentingan terbaik pengundi mereka," katanya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana sekiranya dasar kerajaan tidak selaras dengan objektif dan prinsip setiap parti komponen dalam BN.

"Bagaimana pula sekiranya setiap ahli Parlimen tidak memutuskan apa-apa dasar dan undang-undang tertentu berdasarkan kesedaran dan kepentingan terbaik mereka untuk pengundi mereka.

"Nampaknya tidak kira betapa teruknya dasar kerajaan atau betapa tidak popular atau tidak adilnya kerajaan, ahli Parlimen perlu menyokong kerajaan kerana takut kehilangan kerusi mereka," ujarnya.

Beliau juga mempercayai perkara itu bukan objektif undang-undang anti lompat parti yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu.