Penyertaan Zool Amali, Dayangku Intan signal baik untuk PRN

Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Penyertaan bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin dan penyanyi, Dayangku Intan ke dalam Pas pada Sabtu disifatkan sebagai satu signal atau petanda baik kepada persiapan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2023.

Ketua Penerangan Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, ia juga menandakan sejarah yang bakal membawa gelombang kebangkitan di kawasan selatan.

“Syabas dan tahniah kepada Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin bersama rakan-rakan yang secara rasminya telah menyerahkan borang keahlian kepada Pas kawasan Seremban semalam (17 Disember).

“Untuk rekod, sebelum ini Dayangku Intan atau nama sebenarnya Tengku Intan Abdul Hamid merupakan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Zool Amali juga merupakan Timbalan Pengerusi Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah (Pekida) Seremban,” katanya dalam siaran di Facebook pada Ahad.

Pada Sabtu, Zool Amali mengumumkan meletakkan jawatan dan menyertai Pas.

Beliau turut menyerahkan 50 borang keahlian baharu Pas dan turut menyertai parti Islam itu, Dayangku Intan.

Dalam pada itu, Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, tiga lagi cawangan Pas baharu dijangka ditubuhkan di Lenggeng berikutan kemasukan Zool Amali atau lebih dikenali dengan nama Bozz Jebat itu.

Artikel Berkaitan:

“Kepada rakyat Malaysia di luar sana, jom sertai Pas. Kita bersama-sama membawa gelombang kebangkitan rakyat atas nama perpaduan ummah,” ujarnya.