Hentikan budaya bodek dalam UMNO - Veteran politik

Mohd Yussof
Mohd Yussof
A
A
A

GEORGETOWN - Veteran politik, Tan Sri Mohd Yussof Latiff menegur UMNO agar terus menyuburkan demokrasi dalam parti dengan memberi tumpuan dalam menarik generasi muda untuk menyertai parti itu.

Beliau berkata, UMNO perlu membuka pintu seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja yang mahu menawarkan diri untuk menjadi pemimpin parti di semua peringkat.

Menurut Mohd Yussof, parti orang Melayu itu juga dinasihatkan supaya menghentikan amalan suka membodek atau budaya mengampu dengan mempertahankan pemimpin walaupun pemimpin tersebut terpalit dengan kesalahan undang-undang.

Budaya ampu atau membodek ini tidak sihat jika terus dipraktikkan dalam sesebuah parti. Sesiapa yang mengkritik pemimpin akan dianggap tidak setia dengan UMNO dan perlu dihukum malah ada yang dipecat.

"Sebagai veteran UMNO, saya dengan ikhlasnya ingin meminta agar amalan mengampu ini dihapuskan dalam bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan UMNO.

"Semua ahli dan pemimpin parti itu perlu fikiran terbuka. Jika parti terus dibelenggu dengan kewujudan 'warlord' dan amalan mengampu, lama kelamaan ahli-ahli UMNO terpaksa menanggung beban kesilapan pemimpin manakala pemimpin-pemimpin pula bersenang lenang meneruskan kesilapan demi kesilapan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau menambah, sekiranya tiada perubahan diambil UMNO, natijahnya parti itu akan ditolak oleh rakyat secara total.

"Jika kita perhatikan, rakyat menolak UMNO bukannya kerana menyokong Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional tetapi kerana kealpaan pemimpin-pemimpin UMNO itu sendiri. Anak-anak muda yang baru mengundi telah diabaikan dan mereka tidak dipupuk dengan semangat nasionalisme.

Artikel Berkaitan:

"Kesannya, mereka juga akan melupakan segala jasa UMNO yang membolehkan anak-anak Melayu menjadi golongan cerdik pandai, mendapat kedudukan tinggi dalam kerajaan dan badan-badan korporat, hasil dari perjuangan UMNO," katanya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang berkata, penyakit dalam UMNO kini di tahap parah dan perlu diubati segera.

"Jika dibiarkan, UMNO akan pupus secara perlahan-lahan menjelang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang bakal diadakan nanti. Tidak mustahil, UMNO akan terus berkubur pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

"Oleh itu, semua pimpinan UMNO di setiap Parlimen, termasuk yang digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) harus merapatkan semula saf kepimpinan dalam mempersiapkan parti dengan menyatupadukan semua ahli di semua peringkat iaitu cawangan, bahagian, negeri dan pusat untuk berhadapan PRN kelak," katanya.

Mohd Yussof berkata lagi, kekalahan teruk UMNO dalam PRU15 sudah dijangka apabila pemimpin parti itu mula berpecah.

Pada PRU15, BN hanya memenangi 30 kerusi berbanding 79 kerusi Parlimen yang dimenanginya pada PRU14 sekali gus mencatat rekod pencapaian terburuknya dalam pentas politik negara.