Wan Rosdy sah dilantik Menteri Besar Pahang

A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Menteri Besar.

Pemangku Raja Pahang turut berkenan pembentukan kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman dalam satu kenyataan berkata, majlis pengurniaan surat cara lantikan dan angkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang diadakan pada Isnin di Istana Abu Bakar.

"Pelantikan Wan Wan Rosdy berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Raja Pemerintah sebagaimana yang dinyatakan dalam Bahagian II, Perkara 3.(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

No Image Caption

Sebelum itu, Ahmad Khirrizal berkata, Tengku Hassanal berkenan menerima menghadap dan mendengar cadangan, usul serta hasrat pimpinan parti-parti politik yang terlibat susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

Pahang mempunyai 42 kerusi DUN daripada jumlah itu, PN beroleh 17 kerusi, BN pula sebanyak 16 dan PH hanya lapan kerusi.

Wan Rosdy Wan Ismail bertanding bagi kerusi DUN Jelai dan menang dengan majoriti 6,983 undi.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy tidak pernah tewas di DUN Jelai sejak 2004 dan sebelum menceburi bidang politik, beliau pernah berkhidmat sebagai pegawai kanan Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Beliau yang merupakan Ketua UMNO Cameron Highlands telah berkahwin dengan Burhah Mohammed dan dikurniakan tiga anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.

Wan Rosdy mempunyai kelulusan peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM) dan mengambil Diploma Pengajian Perdagangan Institut Teknologi Mara yang kini dikenali UiTM.

Beliau pernah dilantik Exco Perumahan dan Perbandaran Pahang dan Exco Pembangunan Luar bandar dan Hal Ehwal Orang Asli (2008-2013).