PRU15: 'Saya masih calon PH DUN Tioman' -Mohd Fadzli

Mohd Fadzli
Mohd Fadzli
A
A
A

KUANTAN - Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Mohd Fadzli Mohd Ramly menjelaskan beliau masih calon PH yang bertanding di kerusi DUN itu.

Beliau mengakui terkejut dengan penyiaran satu artikel di sebuah portal tempatan yang mendakwa dirinya bersedia memberi laluan kepada calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

"Saya perjelaskan bahawa sehingga kini saya masih calon PH yang akan bertanding di DUN Tioman.

"Nama saya masih dicatatkan dalam kertas undi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mohd Fadzli dalam satu kenyataan yang disiarkan di sebuah portal tempatan mendakwa sedia memberi laluan kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika diarah pucuk pimpinan tertinggi parti.

Merujuk kepada kenyataan itu, Mohd Fadzli berkata, perkara itu sudah dibincangkan di peringkat Majlis Presiden PH dengan mengambil kira situasi politik semasa di peringkat pusat dan DUN Pahang, namun setakat ini belum ada sebarang kata putus dibuat.

Mengulas lanjut, beliau berharap kenyataan tersebut perlu dibaca penuh dan tidak hanya merujuk kepada tajuk.

"Pihak kami akan merujuk kepada sebarang arahan Majlis Presiden dan setakat ini tidak memberikan sebarang arahan berkaitan," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Keputusan PRU15 menyaksikan BN memperoleh 16 kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 dan lapan kerusi dimenangi PH.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRU15 bagi DUN Tioman yang ditangguhkan susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli pada am 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu diadakan pada 7 Disember ini.

Selain Mohd Fadzli dan Mohd Johari, turut bersaing pada pilihan raya itu ialah calon PN, Nor Idayu Hashim, Osman A Bakar (PEJUANG) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.