'Jangan ambil kesempatan jual jersi tiruan'

Azman Adam
Azman Adam
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menjual jersi tiruan sempena perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di sini pada Sabtu.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, pemantauan dijalankan turut melibatkan seluruh negara bagi membanteras kegiatan menjual jersi tiruan ini.

Menurutnya, KPDNHEP memberikan amaran kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan.

"Peringatan dan amaran ini kepada peniaga agar termasuklah tidak menjual jersi tiruan bagi mengelakkan dikenakan tindakan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

"Tindakan turut dikenakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 kepada mana-mana individu atau syarikat yang didapati bersalah dalam membekal dan menjual barangan tiruan atau menyediakan dan menyewakan premis bagi tujuan aktiviti penjualan barangan tiruan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, statistik penguatkuasaan berhubung pakaian tiruan yang dilakukan di seluruh negara pada tahun ini bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Oktober 2022, sebanyak 526 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 11.6 juta.

"Pengguna juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati di dalam melakukan pembelian termasuklah secara dalam talian agar tidak mudah terpedaya serta tidak menyokong penjualan barangan tiruan.

"Pembelian barangan tiruan ini dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian dan menjejaskan keselamatan pengguna itu sendiri," jelas beliau.

Artikel Berkaitan: