PDRM minta semua pihak terima baik proses demokrasi

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pihak diminta menerima baik proses demokrasi tanpa mewujudkan suasana tidak harmoni dalam peralihan kepimpinan kerajaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan sebarang provokasi atau membangkitkan isu perkauman serta agama.

"Dalam proses peralihan kepimpinan kerajaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta kerjasama semua pihak untuk menerima baik proses demokrasi.

"PDRM sebagai institusi keselamatan negara akan terus memberikan komitmen dalam memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam kekal terjamin di bawah pentadbiran Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Acryl Sani berkata, orang ramai diminta tidak menganjurkan sebarang perhimpunan atau perarakan berkaitan politik di tempat terbuka demi keselamatan dan ketenteraman awam.

Katanya, pengguna dan pemilik akaun media sosial turut dinasihatkan untuk menjaga adab dan tingkah laku dalam mengeluarkan sebarang paparan yang boleh mencetuskan kegusaran masyarakat di negara ini.

"Polis akan terus kekal komited memikul amanah yang dipertanggungjawabkan dalam menjaga keselamatan negara dan menjunjung kedaulatan undang-undang demi kesejahteraan masyarakat serta negara," ujarnya.

Dalam pada itu, PDRM turut merakam ucapan tahniah di atas pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Artikel Berkaitan:

Pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.