BN Pulau Pinang kesal MCA desak Zahid letak jawatan

Musa Sheikh Fadzir
Musa Sheikh Fadzir
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir kesal dengan pucuk pimpinan MCA yang mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meletak jawatan.

Menurut beliau, MCA seharusnya menghormati UMNO sebagai rakan komponen dalam gabungan BN.

Musa berkata, tanpa bantuan daripada UMNO, MCA tidak akan memenangi satu kerusi di peringkat Parlimen.

"Tolong hormat UMNO sikit, masa pilihan raya UMNO yang banyak buat kerja untuk dia.

"Di Pulau Pinang, kami bertungkus-lumus bekerja untuk MCA, jangan hina UMNO.

"Kalau tidak suka pun jangan suruh (Ahmad Zahid) letak jawatan, dia sendiri pun tak betul, banyak kerusi yang dia menang pun kawasan orang Melayu," katanya kepada media di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia dekat sini pada Rabu.

MCA sebelum ini menegaskan bahawa parti itu telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Ahmad Zahid.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, Ahmad Zahid perlu melepaskan jawatan Pengerusi BN secara terhormat bagi memberikan laluan kepada pemimpin baharu untuk mengambil alih pucuk pimpinan BN sekali gus menentukan hala tuju parti.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi ketika mengulas perkara tersebut turut sependapat dengan Musa.

"Jangan bermain dengan api," ulas beliau.