Pihak berkuasa digesa siasat Ahmad Zahid

Tun Faisal
Tun Faisal
A
A
A
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pihak polis digesa menyiasat Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan cubaan menipu dan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, tindakan Ahmad Zahid itu dapat dilihat menerusi surat tular yang menyatakan 30 ahli Parlimen BN menyokong gabungan kerajaan Pakatan Harap (PH) dan menamakan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

"Ahli Dewan Tertinggi BN, MCA dan MIC termasuk Datuk Seri Ismail Sabri telah menafikan sokongan kepada mana-mana pihak," katanya.



Menurutnya, tiada sebarang keputusan berubah berhubung keputusan untuk tidak berpihak kepada mana-mana parti politik selain menjadi pihak berkecuali.

"Surat itu adalah satu percubaan menipu dan menghina Agong," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, pada Rabu.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu wajar berasa malu atas perbuatan menipu berulang kali.

"Ini bukan kali pertama cubaan menipu, cuma dahulu kita tidak buat sebarang laporan dan kali ini kita buat laporan agar sekurang-kurangnya ada siasatan terhadap surat tersebut," katanya.

Pada masa sama, Tun Faisal berkata, beliau juga akan membuat aduan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berhubung tindakan Ahmad Zahid dalam masa terdekat.

"Kita harap MKT usulkan satu kesalahan disiplin terhadap beliau kerana selain surat itu, Ahmad Zahid telah membelakangi keputusan Top 5 sehingga menyebabkan kegagalan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)," katanya.

Terdahulu, surat berkenaan yang bertarikh 22 November dan ditandatangani Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tular memaklumkan perkara itu dipersetujui di dalam sidang mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Selasa.
Artikel Berkaitan:


"Patik (Ahmad Zahid) selaku Pengerusi BN memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa parti bersama-sama dengan 30 orang ahli Dewan Rakyat memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Ahli Parlimen Tambun, Anwar untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10," kata Ahmad Zahid menerusi surat berkenaan.

Surat yang dikongsikan oleh bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa di Facebooknya pada Rabu itu didakwa dihantar oleh Ahmad Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung situasi politik tanah air.