FAM siasat insiden 'panas' di Gong Badak

Gambar yang menunjukkan cermin bas yang membawa pemain dan pegawai Selangor FC pecah akibat dibaling batu individu tidak dikenali.
Gambar yang menunjukkan cermin bas yang membawa pemain dan pegawai Selangor FC pecah akibat dibaling batu individu tidak dikenali.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menyiasat insiden kekecohan penyokong pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Selangor FC dan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Isnin.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, perkara itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu bagi meneliti pelbagai aspek termasuk hukuman yang akan dikenakan kepada pasukan terlibat.

“Kami ambil maklum insiden yang berlaku pada perlawanan semalam. Ketika ini kami masih tunggu laporan daripada komisioner perlawanan dan pihak MFL (Liga Bola Sepak Malaysia).

“Selepas kami terima laporan tersebut dan akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib bagi tindakan selanjutnya. Dekat situ baru kita tahu hukuman apa yang patut diberikan kepada mana-mana pihak yang terlibat,” katanya.

Noor Azman
Noor Azman

Sebelum itu, beberapa portal tempatan melaporkan berlaku insiden kekecohan di luar Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin selepas berakhir perlawanan tersebut.

Difahamkan, insiden panas itu berlaku kira-kira jam 12 tengah malam ketika bas yang membawa pemain dan pegawai Selangor FC dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan mereka.

Menerusi beberapa rakaman video yang tular, kelihatan beberapa individu tidak dikenali membaling batu dan kon keselamatan ke arah bas berkenaan sehingga mengakibatkan cermin bas pecah.

Artikel Berkaitan:

“Kami menasihatkan agar mana-mana penyokong yang hadir bagi menyaksikan perlawanan bola sepak supaya menjaga tingkah laku dan menghormati antara satu sama lain.

“Ini termasuklah mereka perlu menghormati keputusan perlawanan, penyokong-penyokong serta pemain-pemain lawan supaya perkara ini tidak berulang lagi selepas ini,” ujar Noor Azman.