'Kalau saya tak terima, ahli kata saya bodoh' - Saarani

Saarani dalam sidang media pada Isnin.
Saarani dalam sidang media pada Isnin.
A
A
A

KUALA KANGSAR - [DIKEMAS KINI] Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyatakan bahawa Pakatan Harapan (PH) telah membuat tawaran dalam jalinan kerjasama membentuk kerajaan negeri termasuk jawatan Menteri Besar.

Beliau berkata, tawaran itu diberikan bersama lantikan tiga Exco kalangan BN dan seorang bagi jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Bila ada mana-mana parti yang menawarkan kami untuk membentuk kerajaan dan memberi peranan kepada kami turut serta dalam pentadbiran kerajaan, sudah tentulah saya terima. Kalau saya tak terima, ahli kata saya bodoh.

"Peranan mereka beri itu, peranan yang sesuai pada saya, sebab saya adalah orang yang mengetuai Pelan Perak Sejahtera 2030. Saya nak meneruskannya jadi saya terima," katanya ketika sidang akhbar selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak di sebuah hotel di sini.

Menteri Besar Perak ke-15 itu turut menegaskan, keputusan menerima tawaran PH dibuat kerana tidak mahu pembentukan kerajaan negeri tergantung lama memandangkan Perak masih belum membentangkan belanjawan negeri.

Katanya, PH dan Perikatan Nasional (PN) yang memenangi jumlah kerusi yang banyak telah gagal membentuk kerjasama antara kedua-dua parti bagi tujuan membentuk kerajaan.

"Kami sedar diri, kami kalah dan kami sudah bersedia untuk jadi pembangkang, tetapi nak jadi pembangkang kerajaan perlu ditubuhkan.

"PH dapat 24 kerusi dan PN pula ada 26 kerusi, kalau bergabung jadi 50 kerusi. Tapi perkara itu tidak berlaku, kedua-dua tak boleh duduk semeja, tak boleh bentuk kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak boleh biar keadaan berterusan kerana rakyat tidak boleh dibiar dalam keadaan tidak keruan apatah lagi DUN perlu bersidang segera untuk membolehkan bajet diluluskan," katanya.

Ditanya mengenai tawaran PN, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu berkata, berbanding PH, PN langsung tidak menyatakan sebarang tawaran kepada BN untuk tujuan gabungan di Perak.

Jelas beliau, selepas keputusan PRU15 diumumkan, hari yang sama Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin telah menemuinya, namun hanya bagi tujuan menguruskan perjumpaan bersama Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

"Semalam saya jumpa Peja (Ahmad Faizal) dan Datuk Zainol, saya maklumkan kepada mereka, saya telah diberi tawaran oleh PH dan jika PN nak buat apa-apa tawaran kepada saya silalah, tetapi sehingga semalam (Ahad), saya tak terima apa-apa (tawaran)," katanya.

Mengulas sama ada keputusan gabungan itu telah mendapat 'restu' pimpinan tertinggi BN, Saarani menjelaskan, kerjasama berkenaan dibuat selepas memperolehi mandat daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Zahidi dan Biro Politik UMNO.