PRU15: Blok Borneo jadi penentu pembentukan kerajaan

Ilham Centre melalui kajian Pola Sokongan Pengundi dan Prediksi PRU15 meramalkan blok Borneo akan menyumbangkan 57 kerusi, dengan 18 daripadanya daripada GPS dan 6 daripada GRS.

Deretan bendera dan poster calon pelbagai parti politik yang bertanding menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). -Foto Bernama
Deretan bendera dan poster calon pelbagai parti politik yang bertanding menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sokongan Sabah dan Sarawak dijangka akan membentuk blok Borneo dalam pembentukan kerajaan, susulan tiada gabungan parti yang dijangka menang dengan garis majoriti mudah 112 kerusi.

Firma penyelidikan bebas, Ilham Centre melalui kajian Pola Sokongan Pengundi dan Prediksi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) meramalkan blok Borneo akan menyumbangkan 57 kerusi, dengan 18 daripadanya daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan 6 daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Justeru, naratif memperkasakan hak Sabah dan Sarawak akan menjadikan PRU15 sebagai pemangkin dalam pembentukan blok Borneo.

“Di Sarawak, GPS dijangka akan menang 18 kerusi, Pakatan Harapan (PH) enam kerusi, Parti Bangsa Malaysia (1) manakala enam kerusi lagi peluang 50-50.

“Sementara di Sabah dan Labuan, GRS dijangka menang enam kerusi, BN (3), PH (2), Warisan (6), Bebas (1) dan lapan kerusi lagi peluang 50-50 antara parti yang bertanding,” menurut laporan kajian itu yang dikeluarkan pada Jumaat.

Unjuran kerusi yang dimenangi parti-parti di Semenanjung dan Borneo.
Unjuran kerusi yang dimenangi parti-parti di Semenanjung dan Borneo.

Cerapan dan observasi kajian akhir Pola Sokongan Pengundi dan Prediksi PRU15 ini dilaksanakan selama tiga minggu bermula 30 Oktober sehingga 17 November lalu, melibatkan kaji selidik secara tatap muka dengan 1,211 responden dan perbincangan kumpulan sasar (150 responden) di seluruh negara.

Berdasarkan dapatan kajian itu juga, PRU15 dilihat bersifat ‘lokal’ yang digarap melalui perjanjian MA63 secara berlebihan, berbanding melihat PRU sebagai platform untuk memilih kerajaan di peringkat persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Malah, sepanjang cerapan dilakukan, politik lokal Sabah dan Sarawak lebih cenderung kepada politik oligarki dalam konteks elit setempat.

“Walaupun isu-isu hak Sabah dan Sarawak diketengahkan, aspek calon masih menjadi faktor terbesar mempengaruhi bukan sahaja pengundi malah jentera parti.

“Tiga angkubah terbesar yang melatari PRU15 di Sabah dan Sarawak ialah hubungan negeri-Persekutuan, sentimen perkauman dan kewilayahan serta isu-isu setempat,” jelasnya.

Berbanding Sarawak, kajian yang dibuat mendapati kocakan politik Sabah lebih bergelora disebabkan perebutan kerusi antara BN-GRS, PH, Warisan dan beberapa parti lokal serta calon Bebas.

Sabah dan Sarawak juga dilihat berpotensi untuk menghantar calon Bebas ke Parlimen, terutamanya di Parlimen Tenom dan Parlimen Sri Aman.

Unjuran keseluruhan 222 kerusi Parlimen.
Unjuran keseluruhan 222 kerusi Parlimen.

“Parti-parti baharu seperti Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) juga memberi tentangan yang signifikan kepada parti-parti besar dan utama di Borneo,” menurut laporan berkenaan.

Dapatan kajian yang dibuat juga mendapati, PH mendahului saingan, dengan 86 kerusi, diikuti BN dengan 51 kerusi, PN (25), GPS (18), Parti Warisan (6), GRS (6), Gabungan Tanah Air (1), PBM (1), Bebas (1) manakala 26 kerusi lagi dijangka sengit dengan peluang 50-50 antara parti yang bertanding.