Tampil calon muka baharu bukan satu pertaruhan: Rafizi

Anwar (kanan) bersama Rafizi ketika sidang media pengumuman menamakan calon-calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Ibu Pejabat PKR, pada Rabu. - Foto Bernama
Anwar (kanan) bersama Rafizi ketika sidang media pengumuman menamakan calon-calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Ibu Pejabat PKR, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Keputusan menampilkan calon profesional daripada pelbagai bidang bagi mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukanlah satu pertaruhan.

Sebaliknya, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menegaskan, ia merupakan harapan rakyat yang mahukan calon muka baharu berketerampilan untuk membawa suara rakyat.

“Ini bukan pertaruhan, kita dapati semakin ramai pengundi yang sudah tidak berharap kepada parti politik, tetapi lebih memerhatikan kebolehan calon baharu.

Sejak 20 tahun lalu, PKR telah menerajui usaha untuk mencapai sesuatu dengan bersungguh-sungguh, tidak ada parti yang membuka pencalonan kepada umum.

“Mungkin ada yang tidak gembira, namun inilah yang diperlukan negara ini untuk menyuntik kredibiliti dalam politik,” katanya ketika sidang media di sini pada Rabu.

PKR pada Rabu telah mengumumkan tujuh calon baharu daripada pelbagai bidang disiplin dan pengalaman untuk bertanding dalam PRU15.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara calon tersebut ialah ilmuwan agama, Nik Omar Nik Abdul Aziz; bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Zainal Azman Abu Seman.

Selain itu katanya, turut dicalonkan bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan; Pensyarah Kanan di Jabatan Parasitologi di Universiti Malaya (UM), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz ; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan M Yusop dan siswazah dari UM, Fathin Amelina Fazlie.

Artikel Berkaitan: