Paskal laksana perolehan pelbagai jenis aset baharu

Hishammuddin - Foto Bernama
Hishammuddin - Foto Bernama
A
A
A

LUMUT - Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang melaksanakan perolehan pelbagai jenis aset baharu dalam masa terdekat, bagi meningkatkan keupayaan pasukan keselamatan tersebut.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perolehan aset baharu ini dibuat hasil perbincangan berterusan antara kepimpinan Kementerian Pertahanan serta TLDM, dengan mengambil kira kehendak serta keperluan pengguna akhir sendiri iaitu TLDM.

"Paskal tidak hanya mementingkan latihan taktikal dari semasa ke semasa, tetapi juga memerlukan aset yang berkeupayaan menangani ancaman keselamatan semasa,” katanya pada sidang media selepas lawatan rasmi Ke KD Panglima Garang, Pangkalan TLDM Lumut di sini pada Rabu.

Hishammuddin berkata, perolehan itu antara lain merangkumi aset-aset seperti Close Circuit Breathing Apparatus, Sub Machine Gun, Static Parachute, Freefall Parachute, Thermal Binocular dan pembinaan Sniper Shooting Tower di Lapang Sasar Sniper.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, Paskal turut bakal menerima lebih 900 aset pelbagai jenis yang disumbangkan oleh Amerika Syarikat, merangkumi Glock 17 Gen 4; M4 Carbine; Bullet Proof Vest; Spotter Scope; dan Radio Hand Held Thales.

Hishammuddin berkata, sumbangan itu diperoleh menerusi kerjasama pertahanan erat antara Malaysia-Amerika Syarikat (AS), khususnya melalui program Building Partnership Capacity serta hasil hubungan akrab beliau dengan Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd J. Austin III.

Beliau berkata, kerja-kerja menaik taraf jeti operasi Pangkalan Lumut juga sedang giat dilaksanakan, bagi meningkatkan tahap keselamatan warga kapal Pangkalan TLDM Lumut serta menyediakan tempat kerja yang lebih kondusif, dengan kos kira-kira RM64 juta dan dijangka siap tahun hadapan. - Bernama

Artikel Berkaitan: