Enam warga asing ditahan terlibat aktiviti pelacuran

PDRM
PDRM
A
A
A

KULAI - Seramai enam warga asing melibatkan seorang lelaki dan lima wanita berusia dalam lingkungan 37 hingga 46 tahun ditahan hasil serbuan di sebuah premis yang dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran di Jalan Air Hitam, Saleng, Senai pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, kesemua individu berkenaan yang berusia dalam lingkungan 37 hingga 46 tahun itu ditahan hasil pemeriksaan di setiap bilik termasuk ruang rehat di premis berkenaan.

Selain itu katanya, hasil pemeriksaan juga mendapati bahawa premis berkenaan tidak mempunyai lesan perniagaan yang sah untuk beroperasi.

“Hasil pemeriksaan, didapati terdapat seorang lelaki dan empat perempuan warga asing berada di setiap bilik dan kawasan ruang rehat dalam premis tersebut.

“Selain itu hasil pemeriksaan juga mendapati seorang perempuan warga asing berumur 39 tahun yang mengaku (bekerja), sebagai penjaga kaunter di premis berkenaan.

“Kesemua suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi siasatan lanjut dan polis turut merampas barang-barang urut dan sejumlah wang tunai campur-campur,” katanya.

Untuk rekod, polis juga telah mendapat kelulusan reman selama empat hari mulai 25 Oktober hingga 29 Oktober 2022 terhadap semua suspek.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Kes itu juga akan disiasat di bawah Seksyen 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Selain itu kes berkenaan juga boleh disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan boleh dikenakan sebat tidak lebih dari enam kali sebatan.

Sementara itu, Beng Yeow tangkapan berkenaan merupakan kedua sejak pandemik Covid-19 lalu.

Katanya, polis pernah melakukan tangkapan di premis sama sebelum pandemik Covid-19 lalu dan premis berkenaan juga baru beroperasi semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).