Skim piramid: Kereta mewah, wang tunai hampir RM1 juta disita

Antara kenderaan mewah yang disita KPDNHEP dalam operasi bersepadu di Kedah dan Pulau Pinang.
Antara kenderaan mewah yang disita KPDNHEP dalam operasi bersepadu di Kedah dan Pulau Pinang.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan skim piramid dalam satu serbuan di empat premis di Pulau Pinang dan Kedah, Rabu minggu lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, operasi bersepadu yang dijalankan dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) menyita pelbagai dokumen, komputer riba dan telefon bimbit yang berkaitan bagi membantu siasatan bersama ini.

"Selain itu, sembilan kenderaan mewah buatan BMW, Toyota, Maserati, Porsche dan Mercedes Benz serta pelbagai beg tangan berjenama mewah milik suspek turut disita," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, 38 akaun di tujuh bank dibekukan serta wang tunai keseluruhannya RM967,720.29 turut disita.

"Tujuh individu disyaki suspek kes terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang warga Taiwan ditangkap bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, syarikat itu dipercayai menjalankan dan mempromosikan aktiviti skim piramid kepada orang awam menerusi aplikasi dalam talian dan penjualan pakej tertentu sejak beberapa tahun lalu.

Syarikat ini disyaki turut aktif melakukan aktiviti tersebut di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Sarawak dan negeri lain," katanya.

Azman berkata, syarikat berkenaan juga dikesan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan lain.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah subseksyen 4 (1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid (AJLSAP 1993) iaitu menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen dan Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid (AJLSAP 1993) iaitu mempromosikan atau menjalankan skim piramid," katanya.

Ujarnya, semua suspek kes akan turut disiasat di bawah Seksyen 4 Akta

Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan

Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 kerana

disyaki melakukan aktiviti pengubahan wang haram.