Empat beradik yatim piatu sekelip mata

Muhaimin menyiram pusara kedua ibu bapanya yang terkorban dalam nahas di Lenggong pada Isnin. (Laporan Sinar Harian pada Selasa.)
Muhaimin menyiram pusara kedua ibu bapanya yang terkorban dalam nahas di Lenggong pada Isnin. (Laporan Sinar Harian pada Selasa.)
A
A
A

TAMBUN - Empat beradik hanya mampu menumpang kasih daripada nenek selepas ibu bapa mereka terkorban dalam nahas di Kilometer 32.3, Jalan Kuala Kangsar- Gerik, Lenggong pada Isnin.

Kejadian sekitar jam 6 petang itu, penunggang motosikal, Azranawi Radzi, 42, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng, Rosnah Ahmad, 44, menghembus nafas terakhir ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lenggong.

Kejadian berhampiran Taman Eko Rimba Lata Kekabu itu melibatkan skuter jenis KYMCO dinaiki pasangan suami isteri itu dengan sebuah kereta Proton Iswara.

Anak sulung pasangan terbabit, Muhaimin Anas, 16, berkata, kejadian itu diketahui selepas dihubungi rakannya yang melihat berita nahas itu sekitar jam 8 malam.

"Saya menganggap dia sebagai bergurau kerana diikutkan saya baharu lepas berhubung, ummi (ibu) mesej sekitar jam 5. 15 petang bertanya khabar saya dan adik-adik.

"Apabila rakan hantar gambar dan video kemalangan, saya terkedu kerana saya cam motosikal babah (ayah)," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan pada Selasa.

Muhaimin berkata, setakat ini mereka memilih untuk tinggal sementara di rumah nenek berikutan adik-adiknya masih bersedih dengan kehilangan kedua ibu bapanya.

Artikel Berkaitan:

Suasana pilu menyelubungi pengebumian jenazah pasangan suami isteri yang terlibat dalam kemalangan di Tanah Perkuburan Islam Bakar Bata, Tanjung Rambutan.
Suasana pilu menyelubungi pengebumian jenazah pasangan suami isteri yang terlibat dalam kemalangan di Tanah Perkuburan Islam Bakar Bata, Tanjung Rambutan.

Sementara itu, rakan Azranawi Radzi yang hanya mahu dikenali sebagai Gee, 49, mengakui terkejut apabila kemalangan itu melibatkan rakannya sendiri ketika dia melalui lokasi kejadian.

Menurut Gee, dia dan suaminya berkonvoi bersama dua motosikal lain termasuk mangsa sepatutnya singgah di sebuah restoran terkenal berhampiran.

"Skuter Nawi berada paling hadapan. Bila lalu saya terpandang kasut berwarna oren sebelum ternampak ros tertiarap di bawah penghadang jalan.

"Suami segera menghampiri Nawi dan sempat mengajar mengucap sebelum dia menghembus nafas terakhir," katanya.

Tambah Gee, mereka berkonvoi ke Betong, Thailand pada Ahad dan kembali ke negara ini sekitar jam 4 petang pada Isnin.

Dia menyifatkan arwah sebagai pasangan sehati sejiwa selain suka bersedekah dan belanja rakan-rakan.

"Ketika di Betong, mereka belanja kami makan dan tidak banyak beli barang melainkan coklat untuk keempat-empat anak mereka yang tinggal di rumah," ujarnya.

Pasangan suami isteri itu meninggalkan empat anak yang masih bersekolah iaitu Mifthahul Nurjannah, 7, Maher Uzair, 9, Muhammad Darwisy Imran, 14 dan Muhaimin Anas, 16.