PRU15: Maszlee sedia berdepan mana-mana calon jika dipilih

Maszlee (duduk, dua dari kanan) selepas melancarkan Jentera Parlimen Simpang Renggam (P151) Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Simpang Renggam di Kluang pada Ahad.
Maszlee (duduk, dua dari kanan) selepas melancarkan Jentera Parlimen Simpang Renggam (P151) Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Simpang Renggam di Kluang pada Ahad.
A
A
A

KLUANG - Bekas Menteri Pendidikan yang juga penyandang kerusi Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik sedia berdepan dengan mana-mana calon sekiranya dipilih untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, biarpun secara rasmi belum ada apa-apa keputusan daripada pihak parti, namun beliau sedia menerima amanat daripada presiden parti untuk berbuat demikian.

"Sebenarnya parti belum buat apa-apa, cuma saya di media sosial kata, kita sedia terima amanat daripada presiden untuk mempertahankan Simpang Renggam.

"Tak kisah lah siapa pun calonnya, tapi saya tak boleh 'langkah bendul' (biar parti umumkan dahulu).

"Yang pasti kita akan pertahankan (kerusi) kerana ia adalah kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dan kita akan pastikan ia akan kekal bersama PH demi untuk memperjuangkan nasib rakyat," katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Parlimen Simpang Renggam (P151) Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Simpang Renggam di Kluang, Johor pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi UMNO Johor Datuk Seri Hasni Mohammad berhubung hasrat parti berkenaan bertanding di 17 kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU-15 kelak termasuk Simpang Renggam.

Untuk rekod, pada PRU14 lalu Maszlee yang ketika itu bertanding atas tiket Bersatu menewaskan calon Gerakan, Datuk Liang Teck Meng dengan majoriti 3,475 undi.

Dr Maszlee bagaimanapun dipecat daripada Bersatu Mei tahun lalu sebelum menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) selama beberapa bulan sebelum beralih kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai peluangnya untuk mempertahankan kerusi Simmpang Renggam susulan kekalahannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu, Dr Maszlee berkata, ia (kekalahan) berpunca akibat peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu tidak sampai 60 peratus.

Justeru katanya, kesemua pengundi di Parlimen itu akan keluar mengundi beramai-ramai sebagaimana PRU14 sekali gus mencerahkan peluang bagi PH mempertahankan kerusi berkenaan.

"Pada PRN Johor lalu, bilangan undi begitu rendah... tidak sampai 60 peratus.

"Bilangan yang pernah mengundi masa PRU14, ramai yang tidak keluar mengundi dengan sempadan masih belum dibuka, masalah Covid-19, masyarakat Cina baru merayakan Tahun Baru Cina dengan pelbagai sekatan jadi banyak kekangan mereka gagal mengundi.

"Jadi harapan saya di Simpang Renggam, kalau masa PRU14 dulu boleh capai 80 peratus yang keluar mengundi," katanya.