FAM ada venue alternatif

Aksi antara Malaysia dan Bahrain pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil Jun lalu.
Aksi antara Malaysia dan Bahrain pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil Jun lalu.
A
A
A

SEJAK beberapa hari lalu, timbul tanda tanda dalam kalangan peminat bola sepak tempatan di manakah gelanggang Harimau Malaya apabila menjadi tuan rumah saingan Piala AFF 2022 pada penghujung tahun ini.

Ia susulan 'rumah rasmi' Harimau Malaya - Stadium Nasional, Bukit Jalil mencetuskan kontroversi seketika ketika aksi Kelayakan Piala Asia 2023 yang berlangsung pada Jun lalu.

Dengan keadaan cuaca hujan yang tidak menentu ketika ini selain musim tengkujuh yang mula tiba, timbul persoalan adakah Stadium Nasional, Bukit Jalil 'selamat' untuk digunakan nanti.

Malah, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut memberi bayangan gelanggang keramat Harimau Malaya itu mungkin tidak dapat digunakan susulan atas beberapa faktor.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, pengesahan tersebut hanya akan diumumkan pada Selasa ini selepas perbincangan antara badan induk itu dan Perbadanan Nasional Malaysia (PSM).

“Kita akan membuat pengesahan mengenai venue perlawanan selaku tuan rumah bagi saingan Piala AFF 2022 pada Selasa nanti. Kemungkinan ia akan kekal dilangsungkan di Stadium Nasional atau sebaliknya belum pasti.

“Pihak kami termasuk Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) akan berbincang dengan PSM sebelum dapat melakukan pengumuman lanjut (berhubung venue Piala AFF 2022).

“Ini disebabkan faktor penilaian padang perlu mencapai piawaian selain percanggahan tarikh seandainya PSM sudah mendapat tempahan lebih awal sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Petaling Jaya pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Noor Azman berkata, FAM sudah mempunyai venue alternatif jika tidak dapat menggunakan Stadium Nasional, Bukit Jalil pada kempen 'Piala Dunia' Asia Tenggara itu nanti.

“Kita sudah ada beberapa venue yang disenaraikan seperti Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, Stadium (Bola Sepak) Kuala Lumpur (Cheras) atau Stadium Hang Jebat (Melaka) dan mungkin Stadium Sultan Ibrahim (Johor).

“Apa pun FAM masih berharap ia (Piala AFF 2022) dapat dilangsungkan di (Stadium Nasional) Bukit Jalil tetapi kita tunggu dan lihat bagaimana keputusan nanti,” ujarnya.

Saingan Piala AFF 2022 bakal membuka tirai pada 21 Disember dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Myanmar, Vietnam, Singapura dan Laos.

Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon akan beraksi di laman sendiri ketika bertemu Laos dan Singapura dan perlu bertandang di gelanggang lawan pada aksi menentang Myanmar dan Vietnam.