Hasni beri bayangan bertanding di luar kawasan

Hasni (kanan) diberi penerangan oleh Muhamad Farouk Hassanain Hashim mengenai jualan gajet sempena pembukaan rasmi cawangan baharu Al Ikhlas Gadjet di Larkin Sentral, Johor Bahru pada Sabtu.
Hasni (kanan) diberi penerangan oleh Muhamad Farouk Hassanain Hashim mengenai jualan gajet sempena pembukaan rasmi cawangan baharu Al Ikhlas Gadjet di Larkin Sentral, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad membayangkan beliau antara calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan bertanding di luar kawasan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu berkata, perkara berkenaan tidak dapat dielakkan jika itu merupakan kehendak pucuk pimpinan parti untuk menempatkannya di luar Parlimen Pontian.

"Saya tidak menolak kemungkinan bahawa saya dalam pertimbangan pucuk pimpinan (UMNO) untuk disenaraikan bertanding bagi kawasan selain Parlimen Pontian.

"Pucuk pimpinan yang akan tentukan siapa bertanding di mana, saya sendiri kalau diberi peluang dapat bertanding sudah dikira bagus, itu yang penting, kerusi mana tak kisah.

"Bagi saya apa yang penting adalah tempat di mana seseorang calon itu dihantar bertanding dia harus menang, jadi kita letak calon yang punyai potensinya besar untuk menang," katanya.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan cawangan baharu Al-Ikhlas Gadjet di Larkin Sentral di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, terdapat ura-ura Hasni akan bertanding di Parlimen Pontian bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Maslan yang disebut-sebut akan bertanding di Simpang Renggam, namun cadangan itu dikatakan tidak mendapat 'restu' pucuk pimpinan parti.

Hasni berkata, tindakan meletakkan calon luar itu bukan hanya untuk kepentingan seseorang individu sebaliknya untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, langkah tersebut bertujuan mengetengahkan potensi dan juga demi masa depan politik Johor.

"Jadi kemungkinan bertanding di luar kawasan itu menjadi salah satu pertimbangan. Perkara ini juga penting dalam kita menyusun strategi untuk menawan sekurang-kurangnya 16 hingga 17 kerusi Parlimen pada PRU15," katanya.

Sementara itu, Hasni berkata, pihaknya tidak berdepan masalah meletakkan calon boleh menang di kerusi-kerusi Parlimen yang ikonik buat kepimpinan parti lawan antaranya Parlimen Pagoh yang membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"UMNO tidak pernah kurang pemimpin, jadi saya tidak nampak ada masalah untuk letak calon boleh menang di Parlimen Pagoh. Malahan jentera BN di semua peringkat sedang digerakkan untuk memantapkan bahan kempen.

"Saya percaya apabila sampai masa selepas penamaan calon, jentera tidak akan berlengah lagi untuk memulakan kempen mereka," katanya.