AGC bantah permohonan pengundi Pandan halang PRU15

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Khamis membantah permohonan semakan kehakiman difailkan oleh seorang pengundi kawasan Pandan bagi mencabar pembubaran Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semasa musim monsun yang berisiko berlaku banjir pada akhir tahun ini.

Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar, yang juga seorang peguam menamakan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili AGC berhujah bahawa tiada responden membuat keputusan untuk membubarkan Parlimen sebaliknya ia diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

"Permohonan pemohon (Syed Iskandar) ialah untuk mencabar pembubaran Parlimen yang dibuat oleh YDPA menggunakan budi bicara baginda. Ia adalah berdasarkan dakwaan bahawa pembubaran itu tidak sah, justeru pemohon meminta agar PRU15 dihalang.

"Yang di-Pertuan Agong adalah pembuat keputusan muktamad, bukannya Perdana Menteri,” katanya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Beliau juga berhujah bahawa Syed Iskandar gagal membuktikan locus standi untuk membawa tindakan ini dan oleh yang demikian, relif yang dimohon tidak boleh diberi berdasarkan undang-undang.

"Pemohon tidak menunjukkan bagaimana hak beliau dari segi perundangan terjejas. Beliau mempunyai hak untuk mengundi apabila pilihan raya itu diadakan,” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Syed Iskandar pula berhujah bahawa anak guamnya hanya mencabar permintaan Ismail Sabri supaya YDPA membubarkan Dewan Rakyat yang membuka laluan untuk pilihan raya umum.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tindakan Ismail Sabri adalah tidak munasabah kerana telah mengambil kira pertimbangan yang tidak relevan ketika membuat permintaan itu kepada YDPA.

Sri Ram berkata, kuasa untuk membubarkan Parlimen terletak kepada YDPA berdasarkan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan tetapi seperti semua kuasa lain di bawah perlembagaan dan undang-undang bertulis, baginda perlu melaksanakannya atas nasihat.

"YDPA mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen, bagaimanapun baginda hanya boleh berbuat demikian jika permintaan dibuat kepada baginda. Permintaan itu biasanya adalah daripada Perdana Menteri melainkan atas sebab-sebab khusus, pembubaran dimohon oleh seorang menteri kabinet yang bertindak atas kuasa kabinet.

Ahmad Kamal kemudian menetapkan 28 Oktober depan untuk memutuskan permohonan Syed Iskandar.

Pada 14 Oktober lepas, Syed Iskandar, 55, memfailkan permohonan itu bagi mendapatkan deklarasi bahawa permintaan Ismail Sabri kepada YDPA pada 9 Oktober bagi membubarkan Parlimen selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan 55(2) Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal, tidak sah serta tidak berkuat kuasa.

Beliau juga memohon arahan berbentuk writ larangan yang menghalang SPR, penjawat, ejen atau kakitangannya daripada mengambil langkah menjalankan PRU15. - Bernama