PKR bertanding tiga kerusi Parlimen di Negeri Sembilan

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengesahkan PKR akan bertanding di Parlimen Rembau, Kuala Pilah dan Port Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, senarai calon bagi Parlimen terbabit akan diumum dalam masa terdekat.

Aminuddin juga berkata, beliau sedia bertanding di peringkat Parlimen pada PRU15 sekiranya diberikan mandat oleh kepimpinan tertinggi PH.

"Banyak orang nak saya bertanding di Kuala Pilah, Rembau atau Port Dickson... saya serahkan kepada pimpinan parti, kalau perlu saya bertanding saya akan bertanding atau sebaliknya... Cabang (Port Dickson) nak hantar nama saya, saya kata tidak perlu, saya tunggu keputusan sahaja," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pada Rabu.

Naib Presiden PKR itu berkata, perbincangan bersama kepimpinan PH negeri telah menetapkan pembahagian kerusi Parlimen iaitu tiga untuk PKR, tiga untuk Amanah dan dua untuk DAP (dua) pada PRU15.

Pada Selasa media melaporkan Amanah menamakan tiga calon untuk bertanding di tiga kerusi Parlimen di negeri itu termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Omar bagi Parlimen Jelebu.

Calon lain Ketua Wanita Amanah Negeri Sembilan, Norwani Ahmat di Parlimen Jempol dan Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir (Pulau Pinang), Muhammad Faiz Fadzil bagi kerusi Tampin. - Bernama

Artikel Berkaitan: