Kes Gnanaraja diklasifikasikan NFA: Pendakwaan

Gnanaraja
Gnanaraja
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan kes penipuan RM19 juta terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri G. Gnanaraja, telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), demikian pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen, di sini, pada Rabu.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Mahadi Abdul Jumaat, memaklumkan perkara itu semasa perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkaitan projek terowong bawah laut Pulau Pinang bernilai RM6.34 bilion.

Gnanaraja, 41, merupkakan saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes Guan Eng.

Pada 3 April, 2019, ahli perniagaan itu didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan menipu Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa memperdayakan Zarul Ahmad untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa.

Semakan di laman web (SPRM mendapati Gnanaraja dkenakan hukuman denda RM230,000 di bawah pertuduhan mengikut Seksyen 218 (1)(A) Akta Syarikat 2016 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 23 Disember 2020.

Difahamkan, ahli perniagaan itu mengaku bersalah atas tuduhan pilihan mengikut Akta Syarikat di sebalik pertuduhan menipu.

Semasa prosiding, Mahadi berkata, kertas siasatan diklasifikasikan NFA dan pasukan pendakwaan bagi kes Guan Eng tiada mempunyai laporan berkenaan kes Gnanaraja di Mahkamah Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan demikian apabila peguam utama Guan Eng, Gobind Singh Deo berkata, pihak pembelaan akan memfailkan permohonan prosiding menghina mahkamah terhadap pendakwaan kerana didakwa melanggar perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 29 September lalu.

Mahkamah mengarahkan agar pegawai penyiasat Jabatan Forensik SPRM, Wan Mohd Fridaus Yusof, mengemukakan salinan imej kandungan perbualan telefon milik Zarul Ahmad.

Perintah itu juga agar pendakwaan mengemukakan perincian laporan, yang disediakan untuk kes Gnanaraj, berkenaan salinan digital perbualan WhatsApp antara Zarul Ahmad dan Gnanaraja.

Dakwaan menghina mahkamah oleh Gobind bangkit susulan pemeriksaan balas dengan Wan Mohd Firdaus pada Rabu, di mana beliau berkata, tidak boleh mendapatkan perincian yang diminta berikutan pihak pembelaan tidak memberikan nombor rujukan laporan forensik bagi kes mahkamah di Shah Alam.

Gobind kemudian mempersoalkan mengapa ini menjadi masalah kerana DPP Nik Haslinie Hashim, yang berada dalam pasukan pendakwaan kes Guan Eng turut mengendalikan kes Gnanaraja.

"Bagaimanakah pihak pendakwa boleh memberitahu saksi bahawa mereka tidak mempunyai maklumat? Saya mahu tindakan diambil. Mereka menyembunyikan dokumen daripada kami. Kami akan memfailkan permohonan komital kerana pihak pendakwaan menyekat bukti dalam perbicaraan kes ini,” katanya.

Pada ketika ini, Mahadi membantah dakwaan itu dan berhujah bahawa perbualan WhatsApp tidak relevan dalam kes semasa terhadap Guan Eng.

Mahadi mendakwa peguam Guan Eng sebelum ini terlibat dalam pelbagai cubaan untuk mendapatkan pelbagai dokumen yang dibuat secara berperingkat yang didakwa melengahkan perbicaraan.

Beliau kemudian mencadangkan pembelaan membuat permohonan baharu dengan menyenaraikan semua dokumen yang dituntut.

Gobind kemudian menafikan mereka cuba melengahkan prosiding dengan alasan pihak pembelaan berhak memfailkan sebarang permohonan untuk dokumen atau bukti lanjut pada mana-mana peringkat prosiding disebabkan sebarang perkembangan baharu yang mungkin timbul.

Guan Eng, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, bekas Setiausaha Agung DAP itu didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.

Guan Eng juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Perbicaraan di hadapan hakim Azura Alwi bersambung 23 November ini. - Bernama