Rujuk SPRM, pastikan calon BN Pahang bebas rasuah

Wan Rosdy ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya majlis penyerahan bantuan I-Push di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan di sini pada Isnin.
Wan Rosdy ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya majlis penyerahan bantuan I-Push di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan di sini pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - BN Pahang akan memastikan setiap calon yang dipilih bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini bagi memastikan calon yang disenarai bersih daripada rasuah, selain calon boleh menang.

"Calon BN yang akan bertanding mesti bersih dari rasuah atau macam mana Datuk Seri? Ya, memang setiap calon, kita akan rujuk kepada SPRM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya majlis penyerahan bantuan Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Negeri Pahang (I-Push) di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan di sini pada Isnin.

Wan Rosdy berkata, senarai calon BN Pahang masih belum belum dihantar kepada pucuk pemimpin kerana ia masih diperingkat perbincangan.

Tambahnya, selagi senarai calon belum dimuktamadkan, proses penyerahan tidak boleh dilaksanakan.

"Kalau tidak muktamad macam mana kita hendak serah. Kita ada bincang sikit-sikit pasal calon ini. Bila berlaku pilihan raya sudah tentu akan berlaku perubahan maknanya tidak 100 peratus yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan kekal mesti ada perubahan.

"Kali ini ada kombinasi ada calon lama, pertengahan lama dan yang muda (muka baharu). Kombinasi ini sebab ada yang muda pasti adanya yang lama," ujar Wan Rosdy.

Artikel Berkaitan:

Menjawab pertanyaan adakah beliau kekal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, Wan Rosdy mengesahkan akan mempertahankan kerusi itu, jika pucuk pimpinan memberi keizinan untuk bertanding di kerusi pernah dimenangi.

Beliau mengakui sudah penggal ke lima bertanding di DUN Jelai sejak 2004 dan majoriti kemenangan itu meningkat setiap kali pilihan raya diadakan.

Menurutnya setiap kali bertanding majoriti saya meningkat sejak 2004, sehingga 2018 dan angka itu tidak pernah berbohong.

"Kalau tidak percaya boleh melihat kepada rekod lampau. Tiada janji, lihat bukti. Rekod lampau ini penting, jadi rakyat perlu melihat rekod ini, jangan dengar fitnah, janji palsu kerana itu belum terjadi," kata beliau lagi.