‘Papa jadi pendiam sebelum pergi’

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Anak perempuan kepada bekas Ketua Jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Mustaza Mohd Yusof yang meninggal dunia pada Selasa tidak menyangka perubahan sikap bapanya menjadi petanda pemergian insan yang dicintainya.

Nurezzatul Aqmar yang juga wartawan Sinar Harian berkata, bapanya yang peramah menjadi pendiam kira-kira tiga hari sebelum kematiannya.

Lebih menyedihkan, pemergian bapanya yang juga dipanggil papa itu berlaku sewaktu mereka sekeluarga sedang bercuti.

“Papa masih sihat ketika kami sekeluarga bercuti ke Terengganu pada hari Sabtu, namun dia mula demam dan muntah sehari sebelum kami bercadang untuk ke Pulau Redang pada Ahad.

“Saya perasan Sabtu malam tempoh hari papa tidak banyak bercakap, lebih banyak diam. Sedangkan sebelum ini, papa seorang yang peramah,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mustaza dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu, kira-kira jam 5 pagi tadi akibat darah beku dalam paru-paru.

Nurezzatul Aqmar berkata, jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung LBJ, Negeri Sembilan malam ini.

Mustaza, 62, meninggalkan seorang balu, empat anak dan dua cucu.

Artikel Berkaitan:

Mustaza yang berkhidmat dengan Bernama selama 38 tahun bersara wajib pada 5 Disember 2020 dengan jawatan terakhirnya sebagai Penolong Pengurus di Bahagian Perkhidmatan Langganan, Jabatan Komersial dan mula bertugas sebagai jurufoto di agensi berita itu pada 1 November 1982.