Banyak persoalan tidak dijawab kerajaan di Parlimen: Anwar

Penyokong yang hadir pada program ceramah tidak melepaskan peluang berswafoto bersama Anwar (tengah). - Foto: FB Anwar Ibrahim.
Penyokong yang hadir pada program ceramah tidak melepaskan peluang berswafoto bersama Anwar (tengah). - Foto: FB Anwar Ibrahim.
A
A
A
ALOR SETAR - Kerajaan didakwa lebih memihak kepada ‘orang besar’ dan tidak membela rakyat sepenuhnya apabila banyak persoalan yang dibangkitkan di Parlimen melibatkan isu rakyat tidak dijawab.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, suara rakyat hanya akan didengari apabila pilihan raya semakin hampir, sedangkan banyak isu yang dibangkitkan sejak setahun lalu masih tidak diperjelaskan.

Menurutnya, antara yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya ialah masalah pesawah, harga minyak mentah tidak mampu dikawal, kerosakan dialami akibat pembalakan serta kemiskinan.

“Masalahnya, bila kita lantik pemimpin, dia ubah kekayaan secara melampau. Di Parlimen kami lawan habis-habisan contohnya, isu Global Financial Integriti, berbilion wang diambil dari dalam negara bawa keluar, simpan di pusat kewangan luar persisir supaya tidak ada rekod. Dulu Kertas Panama, sekarang Kertas Pandora.

"Saya bangkitkan di Parlimen, tanya Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) berkali-kali tak ada respons. Bukan saya suruh hukum, suruh siasat.

"Dijawabnya, ya. Setahun berlalu, sampai hari ini dia belum siasat,” katanya ketika berucap pada program ceramah di Pusat Khidmat Rakyat ADUN Suka Menanti di sini pada malam Ahad.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, isu pembalakan tidak terkecuali dan berlaku di beberapa negeri sehingga mengakibatkan bencana dan kemusnahan alam sekitar dan harta benda.

“Saya bangkitkan isu balak di Pahang. Saya minta kerajaan termasuk menteri dari Pas supaya arahkan syarikat-syarikat balak tolong bayarkan ganti rugi kerosakan.

“Syarikat untung besar, rakyat tak dapat apa tapi rumah rosak, saya cadang bagilah ruang supaya syarikat yang untung besar ini bantu rakyat susah. Sampai sekarang tak dijawab,” katanya lagi.
Artikel Berkaitan:


Menurutnya, situasi sama berlaku apabila isu minyak sawit dan kenaikan harga minyak mentah dipersoalkan.

“Saya bagi cadangan di Parlimen, bolehkah keuntungan daripada syarikat besar seperti Guthrie, Felda, Sime Darby atau IOI yang beroleh berbilion ringgit, ditetapkan 10 peratus daripada harga minyak sawit dijual pada harga rendah sebab harganya melambung. Sampai sudah tak dijawab.

“Hanya 10 peratus, RM800 juta setahun. Saya minta ambillah RM700 juta, bagilah sikit kouta untuk orang tempatan beli dengan harga rendah. Biarlah untung kecil, bukan nak bagi rugi,” katanya.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tegaskan, pihaknya tidak mahu penipuan berlaku berterusan dan keadaan ini harus dihentikan menerusi pemilihan kerajaan baharu yang lebih meyakinkan.

“Siapa yang buat keputusan pilih kerajaan? Rakyat yang buat (keputusan) akhirnya. Siapa lantik Perdana Menteri? Rakyat yang bagi kemenangan pada dia. Kali ini, taubat jangan bagi dah.

“Pilihlah pemimpin Islam yang dilihat mampu melaksanakan keadilan, mengasihi rakyatnya sehingga rakyat mengasihi beliau.

"Pemimpin yang berlaku adil kepada semua serta agih pembangunan yang boleh meletakkan prinsip keadilan bagi semua,” ujarnya.