Henti 'serang-menyerang' jika mahu terus kekalkan hubungan

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali meminta supaya kepimpinan Pas berhenti daripada terus mengeluarkan kenyataan menyerang rakan ta'awun, UMNO sekiranya mahu terus menjalinkan hubungan bersama parti itu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, ia berikutan kenyataan rasmi dikeluarkan Pas pada Selasa yang menyatakan pendirian untuk kekal bersama UMNO.

Jelas beliau, kenyataan itu dibuat susulan daripada pertemuan terkini pimpinan tertinggi parti berkenaan.

"Pendirian ini perlu disambut oleh semua peringkat kepimpinan Pas dengan mengelakkan serang-menyerang dan sindir-menyindir yang tidak membantu kepada kerjasama.

"Suburkan semangat persaudaraan demi Islam dan umat. Hidupkan kembali Muafakat Nasional (MN)," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Rabu.

Selasa lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan ta’awun sekali gus tidak bersetuju sama sekali dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan BN sebagai musuh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Sebaliknya, beliau berkata, Pas tetap menegaskan bahawa musuh sebenar agenda penyatuan ummah adalah Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya termasuk ‘khemah besar’.

Artikel Berkaitan: