Projek minyak PSOS-VZ tak jadi tanpa AS$185 juta dana 1MDB

1MDB
1MDB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa diberitahu bahawa tidak mungkin Petrosaudi Oil Services (Venezuela) Limited (PSOS-VZ) dapat meneruskan projek eksplorasi minyak dengan kerajaan Venezuela, tanpa kebenaran pemindahan AS$185 juta daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh syarikat induknya, Petrosaudi International Ltd (PSI).

Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun berkata, Pengarah PSI Tarek Obaid, telah memudahkan pemindahan itu kerana beliau pada setiap masa, mempunyai kawalan ke atas semua akaun Petrosaudi termasuk pemindahan dana, memandangkan beliau adalah penandatangan yang dibenarkan untuk akaun-akaun tersebut.

Norinna berkata, AS$185 juta itu adalah sebahagian daripada AS$1 bilion untuk usaha sama 1MDB-PSI dan anak syarikat PSI (PSOS-VZ) menerima wang itu pada 2010.

"Daripada AS$185 juta, sebahagian daripadanya dibayar untuk membeli kapal gerudi bagi projek eksplorasi minyak dengan kerajaan Venezuela.

"Ini tidak mungkin berlaku jika bukan kerana (dana daripada) 1MDB dan PSOS-VZ dapat membiayainya," kata beliau ketika berhujah dalam permohonan kerajaan untuk menghalang Obaid, PSI dan anak syarikatnya PSOS-VZ daripada menggunakan lebih AS$340 juta dikaitkan dengan 1MDB, yang disimpan dalam akaun eskrow di firma guaman United Kingdom, Clyde & Co di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Norinna berhujah, bahawa pergerakan wang itu telah diselindung oleh Obaid dan beliau telah menyembunyikan punca dana yang sepatutnya untuk eksplorasi minyak di Turkmenistan serta Argentina, selain di Venezuela.

"Kami berhujah bahawa dana yang dipersoalkan, perkara utama perlu dihalang dan dilucuthakkan daripada sebarang urusan, kami telah menunjukkan kepada Yang Arif punca dana ini.

"Kami telah menunjukkan dalam penghujahan sebelum ini tentang bagaimana jejak wang telah masuk dan bagaimana ia masuk ke kontrak eksplorasi minyak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 16 Julai 2020, mahkamah membenarkan permohonan kerajaan untuk perintah interim bagi menghalang pihak-pihak terlibat daripada memindahkan wang yang dikaitkan dengan 1MDB dan menyimpannya dalam akaun anak guam di sebuah firma guaman yang berpangkalan di United Kingdom.

Perintah interim itu bagi mengekalkan status quo pihak-pihak terlibat sehingga selesai permohonan sekatan kerajaan yang memohon perintah untuk menyekat sebarang urusan mengenai wang milik PSI dan PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Limited (PSOS-VZ) yang kini berada di akaun eskrow yang dipegang oleh Clyde & Co LLP di UK.

Selain AS$340 juta itu, kerajaan juga memohon wang tidak ditentukan disimpan di bawah nama akaun perantaraan, Temple Fiduciary Services Limited, di Barclays Bank, UK.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) yang menamakan Obaid, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co dan Temple Fiduciary, masing-masing sebagai responden pertama hingga kelima.

Mahkamah akan mendengar sambungan hujahan itu esok. - Bernama